Selepas enam bulan perancangan dan 60 hari persiapan intensif, Konsert Drama 15 Tahun yang berlangsung di Jio Space, Petaling Jaya pada Sabtu lalu membuktikan kematangan Drama Band sebagai sebuah kumpulan yang telah lebih sedekad mengemudi perjalanan dalam industri muzik tempatan. Keputusan menganjurkan konsert secara kendiri menjadi simbol keberanian dan keyakinan mereka terhadap perjalanan seni yang dibina secara konsisten sejak awal penubuhan.
Konsert berdurasi hampir tiga jam itu menampilkan 28 buah lagu, satu jumlah yang mencabar memandangkan Drama Band hanya memiliki sebuah album studio yang dilancarkan pada tahun 2024. Namun, keterbatasan katalog tidak menghalang kumpulan yang dianggotai Aepul Roza selaku vokalis bersama barisan pemuzik lain untuk memberikan persembahan bertenaga di hadapan hampir 2,000 peminat yang memenuhi ruang acara. Persembahan dimulakan sekitar jam 8.30 malam dengan tayangan video imbas kembali perjalanan lebih sedekad mereka sebelum kumpulan tersebut membuka pentas dengan lagu Babak Pertama. Pembukaan dramatik yang disulami alunan orkestra, kemunculan Aepul bersama penari dan aksi akrobatik berjaya mencetuskan sorakan gemuruh penonton.

Momentum persembahan diteruskan dengan deretan lagu popular seperti ILU, Cerita Dia, JBKT, Ular dan Satu-Satu yang mengukuhkan penguasaan mereka di atas pentas. Suasana semakin hangat apabila Aepul berduet bersama isterinya, Leez Rosli, menerusi medley Makhluk Tuhan Paling Seksi dan Teman Tapi Mesra, diikuti lagu Aku Yang Salah. Aepul turut membawakan Bunga Angkasa nyanyian asal Terra Rossa dengan kawalan vokal yang mantap walaupun bernada tinggi.

Persembahan seterusnya menyaksikan kemunculan Sharul Kamal untuk berduet dalam lagu Bayangan sebelum mereka bersama-sama menyampaikan Melompat Lebih Tinggi, lagu ikonik kumpulan Indonesia Sheila On 7. Penganjuran konsert ini secara berdikari, dengan sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, dilihat sebagai langkah berani dalam mencipta peluang sendiri di tengah cabaran industri. Menurut Aepul, keputusan tersebut dibuat selepas sering mempersoalkan peluang yang tidak kunjung tiba, lalu memilih untuk tidak terus menunggu dan sebaliknya merealisasikan konsert impian mereka walaupun berdepan tuntutan fizikal dan mental yang besar.

Antara lagu lain yang dipersembahkan termasuk Jesnita, Gatal, Jiwa dan Dikoyak. Salah satu momen paling mencuri perhatian ialah paduan suara Aepul bersama penyanyi legenda Nash menerusi lagu Kamelia. Pada usia 66 tahun, Nash masih mempamerkan vokal yang mantap dan berkarisma, sekali gus membuktikan auranya tetap utuh di pentas, disambut tepukan gemuruh penonton.

Menjelang penghujung malam, Aepul bergandingan dengan Awiera dan Fiq menyampaikan lagu Romancinta, memperlihatkan keserasian vokal yang menjadi antara detik paling diingati. Sebagai penutup, Drama Band mengundang Ammar Habir, bekas pemain gitar dan antara pelopor awal kumpulan itu, untuk bersama-sama menjayakan lagu Drama, menutup tirai konsert dengan penuh emosi dan makna, sekali gus merangkum perjalanan 15 tahun mereka dalam satu malam yang bersejarah.