Lumrah Cinta merupakan karya terbaharu hasil gandingan mantap dua nama besar industri muzik tanah air, Syamel dan Aepul Roza. Lagu ini bukan sekadar sebuah balada biasa, malah ia membawa kisah tersendiri yang cukup unik dicipta hampir tujuh tahun lalu, namun hanya kini ‘dihidupkan’ semula dengan nafas baharu. Menerusi label Alternate Records, Lumrah Cinta akhirnya menemui takdirnya apabila dilantunkan dengan penuh penghayatan oleh penyanyi muda berbakat, Puteri Khareeza. Lagu ini mengangkat tema hati yang pernah terluka, namun tetap reda dan bersedia membuka ruang kepada cinta baharu. Dengan sentuhan moden dari segi susunan muzik dan lirik, karya ini tampil lebih matang dan menyentuh emosi, menjadikannya sesuai untuk jiwa-jiwa yang pernah kecewa.
Menurut Aepul Roza, ilham asal lagu ini datang daripada Syamel yang sudah mencipta melodi awal sekitar tujuh tahun lalu. Setelah melalui proses ubah suai dan penambahbaikan, mereka akhirnya menemui penyanyi yang dirasakan paling sesuai untuk membawakan lagu ini. Tahun ini, rezeki kami jumpa penyanyi yang sesuai untuk lagu ini. Sedikit ubah suai pada melodi dan lirik, dan alhamdulillah, hasilnya sangat memuaskan. Lagu balada memang genre kegemaran saya untuk diterbitkan, dan gabungan penulisan saya dengan Syamel dalam lagu ni memberikan rasa yang lain daripada biasa, jelas Aepul.
Puteri Khareeza pula menyifatkan pengalaman merakamkan lagu ini sebagai sesuatu yang sangat bermakna dalam perjalanan seninya. Beliau mengakui berasa gementar kerana berpeluang bekerja dengan Syamel dan Aepul, dua figura yang cukup dihormatinya dalam industri. Saya sangat teruja dan pada masa yang sama gementar, sebab Syamel dan Aepul ialah nama besar dalam industri yang saya sendiri kagumi. Mereka sangat baik sepanjang sesi rakaman dan kedua-duanya memberi tunjuk ajar yang berharga untuk menjayakan lagu ini, kata Puteri. Beliau turut berkongsi bahawa cabaran utama dalam menyampaikan lagu ini adalah penghayatan pada setiap bait lirik, lebih-lebih lagi apabila demo asalnya dirakam sendiri oleh Syamel. Walau bagaimanapun, Puteri berjaya menyiapkan rakaman penuh dalam masa dua jam satu pencapaian yang membuktikan keupayaan vokalnya.
Kini, Lumrah Cinta bukan sahaja menjadi bukti kekuatan kolaborasi antara komposer dan penyanyi, malah bersedia untuk menjadi lagu tema buat mereka yang sedang mencari pengubat luka. Lagu ini sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai Alternate Records & Talents, orang ramai boleh mengikuti mereka menerusi akaun media sosial rasmi di Facebook (Alternate Records & Talents), Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).