Langkah Elysha, Fana, Tuju & Loca B Terhenti di Separuh Akhir The Chosen One Xtra

Program realiti The Chosen One XTRA minggu ketujuh tampil dengan tema istimewa Made in Malaysia, yang menyaksikan para bintang cilik bergandingan dengan coach selebriti masing-masing mempersembahkan lagu-lagu ikonik tanah air. Barisan juri tetap kali ini terdiri daripada Dato’ Awie dan Sharifah Sakinah, manakala juri jemputan pula menampilkan Alif Satar dan Linda Jasmine. Persembahan penuh bertenaga ini dihoskan oleh Nabil Ahmad, yang sekali lagi menceriakan suasana dengan gaya spontan dan selambanya.

Antara persembahan yang mencuri perhatian termasuklah gandingan Nikki Palikat bersama peserta Iman dan Adawiya dengan lagu Sutera nyanyian asal Aisha Retno. Sementara itu, kumpulan Saputra di bawah bimbingan Naqiu tampil dengan persembahan penuh harmoni menerusi lagu Bolehlah Boleh nyanyian asal Mas Idayu. Achey pula membimbing Rayyan dan Dahlia yang membawakan Aku Mahu Pulang daripada kumpulan Amuk, meninggalkan kesan mendalam kepada para penonton.

Tidak ketinggalan, coach Usop bersama dua peserta, Alif dan Yusuf, tampil penuh penghayatan dengan lagu Satu Kalimah nyanyian kumpulan Khalifah. Manakala pasangan Tuju & Loca B pula membimbing Elysha dan Fana melalui gabungan lagu unik seperti Ibukota Cinta (Def Gab C), Kuda Ku Lari (Sharifah Aini) serta Seksis (Anita Sarawak), sekali gus memberikan persembahan penuh variasi. Namun begitu, langkah Elysha dan Fana terhenti apabila mereka diumumkan tersingkir pada minggu ini.

The Chosen One XTRA bukan sahaja mengetengahkan bakat nyanyian, tetapi turut membuka ruang kepada peserta memperlihatkan kebolehan lain seperti tarian, akrobatik serta permainan instrumen muzik. Musim ini menjadi lebih menarik dengan kehadiran barisan coach selebriti baharu seperti Namie, Nikki Palikat, Achey, Tuju & Loca B, Bunga, Usop dan Naqiu.

Setiap persembahan diadili sepenuhnya oleh juri profesional sebaik sahaja tamat persembahan, dengan markah 100% ditentukan oleh mereka. Juara The Chosen One XTRA bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM40,000 beserta trofi sumbangan Astro, manakala tempat kedua, ketiga dan keempat masing-masing menerima RM30,000, RM20,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Menariknya, pentas akhir nanti turut menobatkan dua anugerah khas iaitu Coach Terbaik dengan hadiah RM10,000 serta Persembahan Terbaik yang akan ditentukan melalui undian penonton di laman web rasmi, www.thechosenone.com.my.