Langkah Berani Yah! dalam Dunia Muzik: ‘My Song To You’ Jadi Tanda Permulaan

Nama Afea Deanna Baharudean, atau lebih dikenali sebagai Yah!, bukan lagi asing dalam dunia hiburan tempatan. Setelah mencipta gelombang menerusi watak “Yah Kuchai” dalam siri arahan Allahyarham Mamat Khalid, beliau kini mengorak langkah baharu sebagai penyanyi dan penulis lagu. Single sulungnya berjudul My Song To You bakal menemui peminat di semua platform digital pada 6 Jun 2025, dengan tayangan awal di TikTok bermula 30 Mei 2025.

Di sebalik sisi komedinya yang menghiburkan, tersimpan sisi seni yang lebih mendalam. Lagu My Song To You menjadi medium peribadi untuk Yah! meluahkan emosi serta penghargaan terhadap insan-insan yang pernah hadir dalam hidupnya. Ditulis sepenuhnya olehnya bersama Ku Yen, Barr Hadif dan Rudy Nastia, lagu ini sarat dengan mesej cinta, penyembuhan dan harapan.

“Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Ia umpama surat terbuka buat mereka yang pernah menyentuh hati saya. Saya mahu mereka yang mendengarnya tahu bahawa mereka tidak keseorangan, dan mereka disayangi,” luah Yah! dengan penuh emosi.

Menariknya, My Song To You ditulis dalam Bahasa Inggeris – satu cabaran yang disahut Yah! dengan penuh keyakinan, berbekalkan latar akademik dalam bidang TESL dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Menurutnya, penulisan lirik dalam bahasa kedua itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memperluaskan jangkauan muziknya ke peringkat global.

“Saya mahu karya saya sampai ke hati sesiapa sahaja, tak kira latar belakang atau bahasa. Ini peluang saya untuk berkongsi cerita dari Malaysia ke dunia,” tambahnya lagi.

Single ini diterbitkan dengan kerjasama Buduck Records dan Sony Music Malaysia, yang memberikan sokongan padu terhadap permulaan Yah! sebagai penyanyi profesional. Keyakinan dua label besar ini terhadap bakat Yah! jelas membuktikan bahawa beliau bukan sekadar pelakon yang mencuba nasib, tetapi artis baharu yang serius dan komited dalam industri muzik.

“Saya tahu ini bukan jalan mudah, tapi saya bersedia. Ini bukan fasa suka-suka – ini adalah permulaan impian yang saya simpan sekian lama,” ujar Yah! yang berasal dari Johor.

Dengan keberanian dan semangat yang tinggi, Yah! kini bersedia menawan hati peminat lama dan baharu dengan suara, karya dan cerita yang tulus. My Song To You bukan sekadar debut – ia adalah permulaan satu perjalanan seni yang dijangka penuh warna dan jiwa. – Tehtariktimes