Lagu Baru Hazama Ini Buat Kita Faham Kenapa Cinta Itu Menyakitkan

Penyanyi hebat tanah air, Hazama, kembali dengan single penuh emosi berjudul “Aku Bukan Narsisis”, ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Hazama serta Zel Hadauan. Lagu ini diangkat sebagai lagu tema rasmi drama adaptasi novel popular Dia Bukan Syurga karya Rissa Ahdiya, yang akan ditayangkan menerusi Slot MegaDrama, Astro Ria, bermula 19 Mei 2025.

Lagu ini memberi suara kepada watak utama lelaki, Tajul, yang bergelut dalam konflik cinta penuh kekeliruan dan trauma emosi. Tajul sering disalah anggap sebagai seorang “narsisis” dalam hubungan, namun sebenarnya dia dilanda ketakutan kehilangan dan keinginan untuk cinta yang sempurna. Lirik seperti “Engkau Sang mentari menghangatkan… Engkau juga seteru, engkau juga kekasih” menjelaskan kedalaman emosi ini.

Drama Dia Bukan Syurga mengisahkan perkahwinan penuh konflik antara Nuha (lakonan Ezzanie Jasny) dan Tajul (Niezam Zaidi), seorang suami panas baran yang sering mencederakan secara emosi. Lagu ini memainkan peranan penting dalam menyampaikan sisi gelap perhubungan mereka dari sayang yang melukai, kepada cinta yang memusnahkan.

Dengan susunan muzik dramatik dan vokal penuh jiwa oleh Hazama, Aku Bukan Narsisis menjadi gambaran tepat kepada watak Tajul. Drama ini diarahkan oleh Rashid Sibir dan diterbitkan oleh Radius One Sdn. Bhd., turut menampilkan pelakon hebat seperti Nazim Othman.

Dia Bukan Syurga bukan sekadar drama cinta ia juga membuka mata tentang penderaan emosi, kawalan psikologi, dan trauma selepas hubungan toksik. Lagu dan drama ini menyatu dalam menyampaikan mesej yang lebih dalam tentang bahaya emosi yang tidak terkawal.

Lagu Aku Bukan Narsisis boleh didengari di semua platform digital mulai 16 Mei 2025. Sementara itu, drama Dia Bukan Syurga akan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan On Demand, dengan 32 episod kesemuanya. – Tehtariktimes