Konsert XPDC Metalkestra Gegar Zepp KL 8 November , Jangan Lepaskan!

Dengan warisan lebih 40 tahun dalam dunia muzik tempatan, XPDC nama gah dalam sejarah rock heavy metal Malaysia bakal mencipta sejarah baharu menerusi konsert berskala besar, XPDC METALKESTRA, yang dijadualkan berlangsung pada 8 November 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Republic Mokhmah Records, konsert ini merupakan satu penghormatan buat legasi XPDC dan para peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokong sejak era kegemilangan mereka pada tahun 80-an hingga kini. Setelah kejayaan Konsert Raksasa XPDC Brutal di Stadium Negara dan Shah Alam pada tahun 1998, XPDC kini kembali beraksi bersama anggota utama ,Izo, Eddie, Arif, Lola dan Mamu atau dikenali sebagai samurai sejati XPDC.

Menurut Encik Musa dari Republic Mokhmah Records, tema Metalkestra dipilih untuk memberikan kelainan dengan gabungan mantap antara muzik metal dan orkestra, menjanjikan pengalaman audio visual yang unik dan berkelas tinggi.

“Kami sangat teruja untuk membawa XPDC ke pentas Zepp KL bersama persembahan yang bukan sekadar biasa. Metalkestra adalah simbol evolusi muzik XPDC tanpa mengorbankan identiti asal mereka,” katanya.

Konsert Rock XPDC: Bukti Rock Kapak Masih Bernyawa

Penganjuran konsert ini turut membuktikan bahawa genre rock kapak dan muzik heavy metal tidak pernah luput ditelan zaman. XPDC berharap konsert ini bukan sahaja menarik penyokong setia mereka, malah turut memikat generasi muda yang mengenali band ini melalui platform digital dan media sosial.

XPDC menyatakan bahawa elemen orkestra dalam konsert ini bukan sekadar hiasan, tetapi satu bentuk penghargaan buat peminat yang sentiasa berdiri teguh bersama mereka.

“Metalkestra adalah hadiah buat semua peminat kami yang tidak pernah jemu menyokong dalam perjalanan jatuh bangun selama empat dekad,” ujar Izo, mewakili kumpulan.

Dengan barisan lagu-lagu malar segar seperti Apa Nak Dikata, Nafisa, Kita Peng Yu, Hidup Bersama, Hijau Bumi Tuhan dan CT Cinta Kenangan Silam, konsert ini dijamin menjadi detik yang sukar dilupakan buat peminat muzik rock tempatan.

Harga Tiket XPDC Metalkestra Zepp KL & Keistimewaan Lain

Tiket rasmi mula dijual di ilassotickets.com/konsertxpdcmetalkestra pada 30 Julai jam 5 petang, dengan kategori berikut:

  • Cat 4 (Samurai): RM198 – Tempat duduk bernombor biasa
  • Cat 3 (Brutal): RM338 – Tempat duduk VIP, T-shirt & poster
  • Cat 2 (Darjah Satu): RM138 – Tempat berdiri bebas
  • Cat 1 (Kita Peng-yu): RM168 – Tempat berdiri barisan hadapan
  • Royal Box: RM5,008 – 10 orang, Meet & Greet + goodie bag eksklusif

Sertai Cabaran Pakaian Samurai & Menang Gitar Eksklusif

Tambah menarik, dua peminat bertuah yang hadir dengan kostum samurai terbaik akan memenangi hadiah istimewa. Pihak penganjur juga akan mengadakan cabutan bertuah dengan gitar Jackson Izo Signature sebagai ganjaran utama bukan satu, tapi dua gitar eksklusif akan diberi!

Jangan Lepaskan XPDC Metalkestra Akan Gegarkan Kuala Lumpur!

Jika anda seorang peminat tegar XPDC atau penggemar muzik rock Malaysia, konsert ini wajib ada dalam kalendar anda. Jangan jadi yang terlepas peluang menyaksikan epic comeback XPDC dalam konsert penuh gaya, karisma dan sentimental ini.

Catat tarikh: 8 November 2025. Lokasi: Zepp Kuala Lumpur.

Jumpa di sana, wahai sang samurai! – Tehtariktimes