Konsert Solo Jung Yong Hwa Cipta Memori Manis Buat 2,000 Peminat

Konsert solo Jung Yong Hwa bertajuk 2025 JUNG YONG HWA LIVE ‘Director’s Cut: Our Fine Days’ anjuran Lo-Fi Entertainment berlangsung penuh meriah di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 14 September lalu. Persembahan sulung beliau di Malaysia ini berjaya memukau 2,000 BOICE (gelaran peminat CNBLUE), sekali gus membuktikan pesona bintang Korea Selatan itu kekal menawan selepas lebih sedekad berkarya.

Yong Hwa membuka tirai persembahan dengan penuh karisma, tampil segak mengenakan sut kemas dan kaca mata, sebelum membuat kejutan dengan berjalan masuk dari kawasan penonton menuju ke pentas. Gimik tersebut seolah-olah melambangkan perjalanan karier solonya sepanjang 10 tahun. Beliau kemudian mempersembahkan lagu popular “One Fine Day” dan “Your City”, diikuti dengan sapaan mesra dalam Bahasa Melayu, “Apa khabar sayang?”, yang disambut sorakan gemuruh peminat.

Menariknya, Yong Hwa turut mempamerkan kemahirannya menggunakan beberapa perkataan Melayu sepanjang persembahan. Selain “Mantap”, “Janji”, “Bagus” dan “Terima Kasih”, beliau juga secara spontan belajar frasa baharu “Jerit semua!” yang terus mencetuskan riuh rendah penonton. Penyanyi itu turut berinteraksi mengenai makanan tempatan, dan apabila peminat menyebut “durian”, beliau berseloroh dalam Bahasa Inggeris, “Durian all day long?”, mengundang gelak tawa penonton.

Selain itu, Yong Hwa mendedahkan bahawa rakan baiknya, pelakon Park Bo Gum, sempat hadir ke belakang pentas dua jam sebelum konsert bermula untuk memberi sokongan. Sepanjang lebih tiga jam persembahan, Yong Hwa bukan sekadar menyanyi dan menari, malah rajin berinteraksi dengan peminat. Beliau juga tampil membuat dua kali encore, termasuk mempamerkan bakat bermain dram serta turun ke kawasan BOICE Zon untuk lebih dekat bersama peminat.

Konsert berakhir dengan penuh gemilang, meninggalkan memori indah buat 2,000 penonton yang hadir dan mengukuhkan lagi ikatan istimewa antara Jung Yong Hwa dan peminat setianya di Malaysia.