Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 Kembali Menghidupkan Era 80an & 90an!

Peminat muzik Malaysia akan dihidangkan dengan satu malam yang penuh nostalgia dan kehebatan menerusi Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 yang akan berlangsung pada 25 Januari 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Konsert ini bakal menampilkan sembilan penyanyi lagenda yang telah lama mencorakkan industri muzik tanah air, antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin, Andy Flop Poppy, dan Amir Masdi.

Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 bertujuan untuk menghormati tiga dekad kegemilangan muzik Malaysia, membawa peminat merasai pengalaman penuh nostalgia dari era 80-an dan 90-an. Ia akan menampilkan gabungan artis-artis terkenal dari pelbagai genre muzik termasuk pop, rock, dan balada. Persembahan ini dijangka memberi suasana yang berbeza dengan konsep ‘back to the 80’s & 90’s’, di mana peminat dapat merasai kenangan zaman kegemilangan muzik tempatan.

Selain daripada persembahan solo yang memukau, konsert ini juga akan menyatukan vokal-vokal hebat dalam satu segmen istimewa. Peminat akan disajikan dengan persembahan eksklusif yang jarang-jarang terjadi, di mana penyanyi-penyanyi dari generasi berbeza akan bergabung dan memberikan sentuhan istimewa dalam setiap lagu.

Sebanyak 22 lagu yang pernah dipertandingkan di Anugerah Juara Lagu dan telah memenangi acara berprestij itu akan dipersembahkan. Kemunculan istimewa dari Kid Search, pemain gitar asal kumpulan Gersang, yang akan mempersembahkan lagu “Masih Aku Terasa” turut dijangka menambah kemeriahan konsert ini.

Afiezan Shah Mohd Zahari, Pengasas dan Pengarah Pentas 365 Events, yang turut bertanggungjawab dalam penganjuran konsert ini, berkata, “Konsert ini bukan sahaja untuk meraikan artis-artis lagenda, tetapi juga untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan industri muzik Malaysia. Setiap penyanyi dalam barisan konsert ini sudah meninggalkan impak yang luar biasa, dan kami teruja untuk memberikan satu malam yang penuh dengan kenangan dan muzik berkualiti tinggi.”

Beliau juga berharap konsert ini dapat merayakan perjalanan industri muzik Malaysia dan menghargai bakat-bakat yang telah terbukti luar biasa sepanjang tiga dekad ini. “Kami sangat bersemangat untuk menawarkan satu pengalaman yang penuh dengan kenangan manis dan nostalgia kepada peminat,” tambah Afiezan.

Sebagai tambahan, penganjur mengajak penonton untuk mengenakan pakaian bertemakan retro, memberikan pengalaman lebih menyeluruh dan mencipta memori bersama dalam suasana yang unik. Konsert ini juga mendapat sokongan dari radio rasmi Sinar FM, Gegar FM, dan Zayan FM.

Tiket bagi Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 telah mula dijual sejak 29 September 2024 dan boleh didapati di laman web rasmi www.myticketempire.com. Maklumat lanjut dan kemas kini boleh diperoleh melalui Instagram rasmi MEGAHITZ di @pentas365.

Konsert ini pasti menjadi perayaan muzik yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat muzik Malaysia, dengan segala kehebatan dan kenangan yang akan tercipta di atas pentas.