Konsert Legenda Nada Murni: Hijjaz & Rabbani Imbau Gemilang Nasyid 80-an

Selepas lebih tiga dekad membawa haluan masing-masing, kumpulan nasyid tersohor Nada Murni kini kembali bersatu di pentas menerusi Konsert Lagenda Nada Murni. Fenomena yang pernah mencetuskan gelombang nasyid era 80-an ini bakal mengimbau nostalgia peminat dengan sebuah persembahan istimewa yang penuh makna.

Dianjurkan oleh Karri Talk Production dan Westzone Entertainment, konsert mega ini akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 7 Disember 2025, jam 8 malam. Lebih istimewa, ia menyatukan semula dua kumpulan terkemuka hasil pecahan Nada Murni iaitu Hijjaz dan Rabbani yang akan beraksi bersama dalam satu pentas buat julung kalinya.

Konsert ini dijangka menggamit memori dengan rangkaian lagu nasyid popular seperti Di Pondok Kecil, Di Sini Kami Berkumpul dan Tanpa Agama, selain menyajikan persembahan eksklusif daripada artis jemputan seperti Saujana, Akhil Hai serta Pak Dinie yang turut hadir sebagai juri jemputan pada malam tersebut. Menurut wakil penganjur, “Konsert Lagenda Nada Murni bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi pertemuan semula penuh makna selepas lebih tiga dekad. Kami percaya malam tersebut akan menjadi detik istimewa buat peminat, bukan sahaja untuk mengimbau era kegemilangan nasyid 80-an, malah untuk merasai semangat kebersamaan melalui muzik yang murni dan berjiwa.”

Persembahan berdurasi dua jam ini dijangka memberi pengalaman berhibur sambil mengisi jiwa dengan dendangan syahdu yang pernah menjadi fenomena nasyid tanah air. Tiket konsert akan mula dijual pada 26 September 2025 secara eksklusif di ILASSO TICKETS dan FANTOPIA. Menariknya, tiket dibahagikan mengikut tiga kategori iaitu Men Section, Women Section dan Family Section, sekali gus memberi kebebasan kepada peminat untuk memilih zon pilihan mereka. Dengan harga bermula RM128.00 hingga RM258.00, tiket dijangka habis terjual dalam masa singkat.

Kumpulan Nada Murni, yang mula bertapak sejak 1987, pernah merakamkan album dalam keadaan serba sederhana tanpa studio dan peralatan muzik lengkap. Walaupun hanya bernasyid dengan satu nada, karya mereka seperti Bila Nur Melimpah di Hati dan Nun Di Sana menjadi fenomena. Selepas berpecah pada tahun 1994, ahli kumpulan ini kemudiannya membentuk dua kumpulan nasyid paling berpengaruh iaitu Rabbani dan Hijjaz.

Konsert ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak. Royale Chulan Hotel tampil sebagai penaja sidang media, manakala Zayan FM menjadi rakan radio rasmi bersama ERA FM, SINAR FM dan GEGAR FM sebagai rakan radio. Astro Gempak dan Salam Muslim pula merupakan rakan media digital rasmi. Untuk sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan media, orang ramai boleh menghubungi Cik Shanghetaa di +6019 286 2535 atau Puan Ieka di +6019 267 0364, selain mengikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi penganjur iaitu @karritalkproduction dan @westzoneentertainment.