Icon Entertainment ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat KRU yang telah memberikan sokongan luar biasa, membuatkan tiket konsert GENKRU habis dijual hanya dalam tempoh kurang dari 24 jam. Pembelian tiket dibuka pada pukul 11 pagi pada 20 Disember 2024, dan pada pukul 12 tengah hari, tiket untuk konsert yang dijangka menggegarkan pentas Axiata Arena, Kuala Lumpur ini telah pun sold out!
Iman Tang, pengasas Icon Entertainment, meluahkan rasa terharu dan tidak dapat menyembunyikan rasa syukur atas sambutan hangat yang diterima. “Kami amat terharu dengan sambutan ini. Fenomena ini sudah dijangka kerana melihatkan populariti dan profil KRU yang merupakan salah satu ikon negara kita. Namun, kami lebih terkejut dengan sambutan yang luar biasa dan tiket yang sudah habis dijual hanya dalam masa beberapa jam! Seramai 10 ribu pembeli tiket sudah bersedia untuk ‘battle’ tiket seawal 8.30 pagi, dan ini merupakan satu penghargaan yang sangat besar serta respon positif terhadap artis tanah air kita,” ujarnya dengan penuh rasa bangga.
Konsert GENKRU, yang dijadualkan pada 3 Mei 2025 di Axiata Arena, Kuala Lumpur, pasti akan menjadi salah satu acara muzik terbesar tahun depan. Dengan promosi yang telah berjaya menarik perhatian ramai, konsert ini akan menampilkan persembahan hebat daripada KRU, yang terkenal dengan lagu-lagu hits mereka yang tak lekang dek waktu. KRU bukan sahaja merupakan ikon dalam industri muzik tempatan, malah telah meraih pengiktirafan antarabangsa, menjadikannya sebagai tarikan utama bagi peminat muzik di Malaysia.
Peminat yang tidak berjaya mendapatkan tiket bagi konsert ini jangan risau kerana atas permintaan ramai, Icon Entertainment mengesahkan bahawa konsert hari kedua akan diumumkan dalam masa terdekat. Bagi mereka yang masih berpeluang untuk membeli tiket, penjualan tiket untuk hari kedua juga akan diumumkan kelak.
Maklumat Acara GENKRU
- Acara: Konsert GENKRU
- Lokasi: Axiata Arena, Kuala Lumpur
- Tarikh: 3 Mei 2025
- Masa: 8.30 malam
- Penganjur: Icon Entertainment
- Harga Tiket:
- OOH!LA!LA (RM 258)
- AWAS (RM 358)
- MENGERTI (RM 478)
- TERHANGAT DI PASARAN (RM 508)
- APASAJA (RM 548)
- FANATIK (RM 588)
Tiket konsert GENKRU boleh dibeli melalui platform Ticket2u bermula pada 20 Disember 2024, pukul 11 pagi. Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, sila kunjungi https://www.ticket2u.com.my/kru.
Bagi mereka yang berjaya mendapatkan tiket, anda dijanjikan pengalaman yang luar biasa, melihatkan KRU mempamerkan bakat dan lagu-lagu ikonik mereka yang telah membentuk landskap muzik tempatan. Peminat KRU di seluruh Malaysia kini boleh berasa teruja kerana konsert ini pasti akan menjadi malam penuh nostalgia, sambutan luar biasa, dan tentunya persembahan yang tidak akan dilupakan.
Dengan fenomena tiket yang habis dijual dalam masa singkat, jelas menunjukkan betapa besar impak yang dibawa oleh KRU dalam dunia hiburan Malaysia. Sambutan yang diterima membuktikan bahawa KRU terus relevan dan mendapat tempat di hati para peminat muzik tempatan.
Icon Entertainment mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua yang telah menunjukkan sokongan, dan tidak sabar untuk menghidupkan konsert ini dengan penuh kemeriahan dan magis.