
Lebih dua dekad perjalanan seni Faizal Tahir diraikan dalam suasana penuh gilang-gemilang menerusi Konsert Faizal Tahir Suara Rakyat yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, malam ini.
Dihadiri seramai 10,000 penonton, konsert berskala mega ini menyajikan hampir 30 buah lagu yang merangkumi pelbagai fasa evolusi muziknya. Faizal membuka tirai persembahan dengan bertenaga menerusi lagu Batu & Golek sebelum dewan bergema dengan nyanyian padu peminat melalui karya motivasi ikoniknya, Gemuruh. Senarai lagu yang dipersembahkan turut memuatkan deretan karya malar segar seperti Coba, Hanyut, Karma, Anti Gravity, Sejati, Santai, Teknologia, Kasih Tercipta, Dirgahayu, Sampai Syurga, Aku Berjanji dan Mahakarya.
Malam bersejarah itu turut diserikan dengan detik penuh emosi apabila kumpulan nasyid Mirwana tampil di pentas menyampaikan Aku Tanpa Cintamu dan Biar Satu Dunia Tahu, mengimbau fasa awal pembabitan Faizal dalam industri seni. Namun, kejutan terbesar yang menggegarkan seluruh arena hadir apabila legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, muncul tanpa sebarang pengumuman awal untuk berduet bersama Faizal menerusi lagu Campak Bintang. Pertemuan dua generasi hebat ini melambangkan penghormatan tinggi terhadap legasi muzik tempatan, selari dengan tema konsert.

Semangat kebersamaan diterjemahkan secara nyata menerusi segmen patriotik Negaraku, Malaysia yang menyatukan ribuan suara pelbagai latar belakang dalam satu dewan. Konsert melabuhkan tirai secara intim menerusi persembahan encore Mahakarya dan Bila Lagi Nak Jumpa, sebelum Faizal bersama barisan pemuzik melakukan final bow diiringi instrumental Gemuruh. Faizal menzahirkan rasa syukur atas sokongan peminat yang berkongsi suara sepanjang malam, membuktikan bahawa karyanya telah menjadi sebahagian daripada lembaran hidup rakyat Malaysia.


