Konsert 25 Tahun Inteam: Persembahan Penuh Nur Kasih dan Keberkatan

Setelah berjaya menganjurkan pelbagai konsert berimpak tinggi sebelum ini, ICON Entertainment by Iman Tang sekali lagi tampil memperjuangkan martabat industri seni tempatan dengan penganjuran konsert berskala besar yang berunsur kerohanian “25 Tahun Inteam Nur Kasih”. Konsert istimewa ini bakal berlangsung pada 1 Februari 2026 bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil pada jam 8.20 malam, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah muzik nasyid tanah air.

Ditubuhkan sejak tahun 2000, kumpulan Inteam sememangnya sinonim dengan karya kerohanian yang dekat di hati pendengar. Di sebalik pelbagai konsert komersial dan moden yang membarisi industri hiburan tempatan, ICON Entertainment memilih untuk terus mengangkat genre nasyid dan kerohanian agar tetap dihargai oleh generasi masa kini. Menurut pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, penganjuran kali ini bukan sekadar konsert biasa tetapi satu penghargaan terhadap perjalanan seni Inteam selama lebih dua dekad yang dipenuhi nilai keimanan dan kasih sayang.

Beliau turut menegaskan bahawa Inteam yang dianggotai oleh Muhammad Hazamin bin Harun, Mohd Syahril Ab Khalid, Abdul Rahim Osman, dan Hisyam Ahmad, telah membuktikan kemampuan mereka dalam membawa karya berunsur spiritual dengan penuh kejujuran. Lagu-lagu seperti Nur Kasih, Dia, Kerana Cinta, dan Kasih Kekasih bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam, malah terus menjadi lagu-lagu malar segar dalam industri muzik Islamik. Iman menambah bahawa kehadiran peminat ke konsert ini pasti tidak akan mengecewakan kerana setiap persembahan dijanjikan penuh dengan penghayatan dan nilai spiritual yang mendalam.

Lebih menarik, konsert ini bukan hanya tentang hiburan semata-mata, tetapi juga sebagai satu bentuk penghargaan kepada peminat setia Inteam. ICON Entertainment dengan kerjasama Jay Ibrahim Al Islam Travel & Tour Sdn Bhd menawarkan pakej umrah bernilai RM8,999 kepada enam pembeli tiket bertuah, selain baucer istimewa bernilai RM5,000 kepada sepuluh pemenang lain. Bukan itu sahaja, hadiah tambahan turut disediakan termasuk dua unit skuter Modenas Elit 150s dan satu unit telefon pintar baharu untuk dimenangi oleh pembeli tiket bertuah.

Menurut Iman Tang, konsert ini bukan sekadar persembahan pentas, tetapi juga tanda penghargaan kepada peminat yang setia menyokong Inteam selama lebih dua dekad. “Kami mahu menjadikan konsert ini lebih bermakna dengan memberikan sesuatu yang benar-benar berharga. Maka, cabutan bertuah dengan hadiah umrah dan pelbagai ganjaran ini adalah tanda terima kasih kami kepada semua peminat,” jelasnya.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan penuh makna ini, tiket boleh didapati dengan harga bermula RM168 hingga RM488, mengikut kategori seperti DIA, KERANA CINTA, BISIKAN NURANI, KASIHKU ABADI, KIAS CINTA, SELIMUT KASIH, NUR KASIH, dan KASIH KEKASIH. Jualan tiket dibuka mulai 24 Oktober jam 11 pagi menerusi laman rasmi www.ticket2u.com.my/InteamNurKasih.

Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih bukan sekadar meraikan kejayaan seni, tetapi juga perjalanan spiritual dan nilai kemanusiaan yang dibawa oleh kumpulan Inteam sepanjang dua dekad. Tahun 2026 bakal menjadi detik bersejarah buat peminat muzik nasyid di Malaysia sebuah malam penuh nur, kasih dan keberkatan.