Selama tiga tahun menceburkan diri dalam industri muzik rakaman tanah air, penyanyi dan komposer muda Najmi Niery tidak pernah terfikir untuk menghasilkan sebuah single raya. Namun, ilham datang secara tiba-tiba dan akhirnya tercetuslah lagu raya berjudul BEST PART OF RAYA yang merupakan hasil gubahan melodi dan lirik yang ditulis bersama Brendan Lim Seng Meng serta Amanda Gnai Song Hui daripada MFMF.
Majlis berbuka puasa dan sidang media bagi single raya BEST PART OF RAYA telah diadakan di AEON Mall Shah Alam. Pada majlis tersebut, seramai 30 orang anak yatim daripada Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia dan Pusat Jagaan Budi Bestari turut diraikan bersama. Pemberian duit raya kepada anak-anak dari kedua-dua rumah kebajikan tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Kanan Perniagaan Digital dan Komersial Sony Music Malaysia, Puan Aiman Nubailah, Pengurus Kanan Operasi Pusat Beli-belah AEON Mall, S. Vettrivelu, serta Najmi Niery dan Adrianna Cinta.
Berkongsi tentang kisah di sebalik penghasilan single raya ini, Najmi mendedahkan bahawa lagu tersebut telah ditulis bersama MFMF sekitar Oktober 2025. Pada awalnya mereka tidak pasti tema yang ingin diketengahkan, namun selepas berbincang mereka mengambil keputusan untuk menghasilkan lagu raya yang diolah sebagai sebuah surat cinta dalam bentuk lagu. Menurut Najmi, Hari Raya merupakan hari kemenangan buat seluruh umat Islam selepas sebulan berpuasa, menahan lapar dan dahaga serta menjauhi perkara yang dilarang Tuhan. Ia juga merupakan detik istimewa untuk diraikan bersama insan tersayang. Justeru, lagu ini dihasilkan sebagai sebuah “surat cinta” yang menggambarkan luahan hati sepasang kekasih yang saling merindui dan tidak sabar untuk bertemu pada hari raya.

Najmi turut menjelaskan bahawa proses penghasilan lagu BEST PART OF RAYA bermula dengan pembinaan melodi terlebih dahulu. Menurutnya, melodi tersebut terhasil secara semula jadi selepas MFMF memperkenalkan satu chord progression yang menjadi asas kepada proses penulisan lagunya. Selepas itu barulah melodi-melodi lain muncul dan mereka bersama-sama menyiapkan keseluruhan lagu tersebut. Tambahnya lagi, setiap penulis lagu mempunyai gaya penulisan tersendiri dan proses kolaborasi itu memberikan pengalaman yang menarik.
Mewakili MFMF, Brendan Lim Seng Meng berkata bahawa bekerja dengan seorang penyanyi yang juga komposer muda seperti Najmi Niery merupakan satu pengalaman yang mudah dan menyenangkan. Katanya, Najmi seorang yang mesra, peramah dan sangat terbuka dalam berkongsi idea. Sejak pertemuan pertama lagi mereka sudah serasi dari segi idea dan tenaga kreatif, menjadikan proses kolaborasi berjalan lancar. Brendan turut menjelaskan bahawa beliau sudah mengenali Najmi sebelum ini kerana mereka pernah terlibat dalam episod MFMF Healing bersama, sekali gus memudahkannya memahami julat dan warna vokal Najmi ketika menulis lagu tersebut.
Menurut Brendan lagi, Najmi memiliki bakat semula jadi dalam penulisan lagu dan proses penghasilan karya ini berjalan dengan sangat lancar serta organik. Najmi juga terbuka untuk mencuba idea baharu. Apabila beliau mencadangkan konsep lagu ini dibawakan seperti sepucuk surat yang ditulis antara dua individu, Najmi terus memahami idea tersebut dan menambah sentuhan peribadinya sendiri sehingga menjadikan lagu itu lebih hidup serta jujur dari segi emosi.
Selain menulis lagu bersama MFMF, BEST PART OF RAYA turut menampilkan penyanyi Adrianna Cinta sebagai pasangan duet kepada Najmi. Menurut Najmi, pada awalnya beliau tidak mengetahui siapa penyanyi wanita yang akan digandingkan bersamanya, namun apabila nama Adrianna Cinta dicadangkan, beliau terus bersetuju. Katanya, Adrianna merupakan seorang penyanyi dan komposer yang sangat berbakat serta banyak menghasilkan karya bersama komposer lain. Suara Adrianna yang menenangkan juga dirasakan sangat sesuai dengan tona vokalnya, sekali gus menjadikan Adrianna pasangan duet yang tepat untuk lagu tersebut.
Adrianna Cinta pula berkata bahawa sebelum ini mereka pernah bertemu di beberapa acara nyanyian, namun tidak pernah menyangka akan bekerjasama dalam sebuah lagu. Menurutnya, mereka berkongsi citarasa muzik yang hampir sama, khususnya dari segi gaya Pop R&B yang sering dikaitkan dengan muzik Indonesia. Oleh itu, apabila digabungkan dalam lagu BEST PART OF RAYA, ia menghasilkan satu kombinasi yang baik dan serasi.
Dari segi proses rakaman, Najmi menjelaskan bahawa beliau sebenarnya sudah merakamkan suaranya untuk lagu BEST PART OF RAYA ketika sesi penulisan bersama MFMF pada Oktober 2025. Apabila Adrianna menyertai projek tersebut sebagai pasangan duet, satu sesi rakaman tambahan perlu diadakan pada minggu pertama bulan puasa bagi merakamkan bahagian vokal Adrianna. Pada waktu yang sama juga, mereka turut menjalankan penggambaran visualizer untuk lagu tersebut.
Menurut Najmi, visualizer yang dihasilkan tidak terlalu kompleks kerana mereka mahukan konsep yang ringkas dan mudah. Latar belakang visualizer pula menggunakan tema klasik bagi menggambarkan konsep retro raya, dan keseluruhan proses penggambaran mengambil masa kira-kira tiga jam untuk disiapkan.
Bagi Adrianna Cinta, pengalaman merakamkan suara dan menjalani penggambaran visualizer untuk BEST PART OF RAYA merupakan satu kenangan manis. Katanya, ketika menerima lagu tersebut, Najmi sudah pun merakamkan bahagian vokalnya terlebih dahulu. Adrianna pula perlu merakamkan suaranya pada bulan puasa dengan kehadiran Najmi di studio. Pada masa yang sama mereka juga perlu menjalani penggambaran visualizer, menjadikan pengalaman tersebut sangat menarik dan menyeronokkan. Malah, mereka terpaksa berpindah ke lokasi lain pada saat akhir sehingga tidak sempat berbuka puasa dengan sempurna. Walaupun begitu, pengalaman tersebut tetap menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan kerana suasananya sangat menyeronokkan.
Mengakui teruja apabila buat pertama kalinya tampil dengan lagu raya sendiri, Najmi percaya BEST PART OF RAYA mampu menjadi salah satu lagu raya yang menonjol pada tahun 2026. Menurutnya, lagu tersebut bukanlah sebuah lagu raya tipikal yang berunsur klasik, sebaliknya lebih berteraskan genre Pop R&B yang jarang dihasilkan untuk lagu raya. Beliau merasakan bahawa pendengar di Malaysia memerlukan sedikit kelainan dalam karya lagu raya, dan sebelum melancarkan single ini beliau sempat berkongsi klip acah di media sosial bersama peminat. Respon yang diterima sangat positif dan ramai yang tidak sabar untuk mendengar lagu penuh tersebut.
Adrianna Cinta pula mengakui bahawa pada tahun ini ramai penyanyi mengeluarkan lagu raya, termasuk rakan-rakan artisnya sendiri. Namun begitu, beliau berharap ramai pendengar akan meluangkan masa untuk mendengar, menghayati dan menyukai single raya pertamanya bersama Najmi ini. Baginya, jika pendengar dapat menghargai karya yang dihasilkan bersama itu sudah cukup menggembirakan mereka, dan mereka juga terbuka untuk menerima sebarang maklum balas daripada pendengar.
Single BEST PART OF RAYA yang diterbitkan oleh Naj & Co, Sony Music Entertainment Malaysia serta Malika Entertainment & Management akan tersedia di semua platform digital muzik utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 6 Mac 2026.