Kolaborasi Impian: Pasangan Kembar Fahimi & Firdaus Rahmat Hadir dengan “Esok”

Lagu terbaharu berjudul Esok menandakan detik bersejarah buat pasangan kembar, Fahimi dan Firdaus Rahmat. Selepas sekian lama berkecimpung dalam industri muzik secara solo, akhirnya kedua-duanya merealisasikan impian untuk tampil dalam sebuah kolaborasi istimewa. Inilah kali pertama pasangan kembar ini berduet dalam satu karya bersama.

Bagi Firdaus, Esok memiliki makna yang mendalam kerana ia merupakan kerjasama yang telah lama diidamkan. “Lagu Esok cukup istimewa dan dekat di hati kami. Ini adalah kolaborasi yang kami nantikan sejak awal pembabitan dalam muzik. Kami hanya menunggu masa serta lagu yang sesuai untuk dilancarkan, dan Esok hadir tepat pada waktunya. Daripada kami hanya untuk anda, Esok,” jelasnya.

Sementara itu, Fahimi menekankan bahawa makna lagu ini lebih bersifat reflektif. “Esok hadir dengan persoalan yang sangat mendalam – esok pasti ada, tapi pastikah kita ada hari esok? Lagu ini bukan sekadar karya muzik, tetapi juga sebuah renungan tentang kehidupan dan masa depan,” katanya.

Menariknya, proses rakaman lagu ini dilakukan sepenuhnya oleh Fahimi dan Firdaus sendiri tanpa kehadiran produser luar. Rakaman vokal hanya mengambil masa sekitar dua jam di studio Faithful Music, di mana mereka bergilir-gilir bertindak sebagai produser untuk setiap bahagian vokal. “Pengalaman ini sangat peribadi dan istimewa kerana kami mengolah sendiri setiap perincian,” tambah Firdaus.

Kolaborasi Esok turut memperlihatkan pertembungan genre berbeza yang akhirnya saling melengkapi. “Perbezaannya lebih kepada bagaimana kami menyesuaikan dan mengimbangkan dua genre dalam satu lagu, kerana saya dan Firdaus membawa gaya muzik yang cukup berbeza,” ujar Fahimi.

Dengan nuansa pop versatile serta vokal yang hampir serupa, Esok bukan sahaja menonjolkan keunikan muzik pasangan kembar ini, malah turut memberi warna baharu kepada industri muzik tanah air. “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pendengar yang terus menyokong perjalanan muzik kami, khususnya lagu Esok,” kata Firdaus lagi.

Kini boleh didapati di semua platform digital, Esok juga dipilih sebagai runut bunyi (OST) untuk drama Tonton Original Me.N.U lakonan Nabila Razali dan Andi Bernadee. Video visual rasmi lagu ini sudah pun tersedia di saluran YouTube Fahimi. Esok merupakan hasil kolaborasi bersama Faithful Music dan Alternate Records Sdn Bhd, serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia.