Trio lawak popular Kimbab yang dianggotai oleh Zulin Aziz, Nasz Sally dan Maryam DurianKimchi kembali memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi single terbaharu berjudul Drama Raya. Lagu raya yang ringan dan menghiburkan ini mengangkat kisah-kisah yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat setiap kali menjelang pagi Syawal, dengan menampilkan pelbagai situasi dan ‘drama’ yang cukup dekat dengan realiti sambutan Hari Raya masa kini.
Menampilkan konsep segar dan santai, lagu ini diinspirasikan daripada pengalaman harian yang hampir pasti dilalui ramai orang ketika Aidilfitri, termasuk perubahan suasana sambutan raya mengikut peredaran zaman. Menurut Zulin Aziz selaku pencipta lagu dan lirik, idea penghasilan Drama Raya tercetus daripada pemerhatian terhadap pelbagai ragam yang sering berlaku pada pagi raya, seperti kuih yang tidak menjadi, pakaian yang tidak lagi muat, serta pelbagai insiden kecil yang saban tahun mencuit hati. Beliau yakin setiap individu pasti mempunyai versi ‘Drama Raya’ tersendiri, justeru muzik video lagu ini turut sarat dengan kisah-kisah yang mudah dikaitkan dengan pengalaman penonton.
Mengangkat konsep easy listening dengan melodi yang catchy, lagu ini turut menampilkan kelainan apabila Maryam DurianKimchi membawakan bahagian rap dalam Bahasa Melayu. Elemen tersebut menjadi daya tarikan utama lagu ini, apatah lagi dengan usaha gigih Maryam menghafal lirik dan memperkemaskan sebutan rapnya walaupun Bahasa Melayunya sudah fasih. Proses rakaman berjalan lancar hasil komitmen tinggi serta semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga anggota kumpulan.

Keserasian trio ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan peminat kerana hubungan mereka yang terjalin sejak menyertai program Muzikal Lawak Superstar terus kukuh sehingga kini. Keakraban tersebut banyak membantu sepanjang proses penghasilan lagu, sekali gus menyerlahkan chemistry semula jadi yang menjadi kekuatan utama Kimbab.
Selain menyuntik elemen komedi dan hiburan, Drama Raya turut menyelitkan isu perbezaan generasi antara golongan milenial dan Gen-Z secara santai, menggambarkan perubahan budaya raya tanpa mengabaikan nilai tradisi yang masih menjadi teras sambutan Aidilfitri. Zulin turut menyuarakan harapan agar lagu ini dapat menceriakan sambutan raya para peminat setia mereka yang dikenali sebagai Kimbabers, malah tidak menolak kemungkinan untuk menghasilkan sambungan pada masa akan datang sekiranya mendapat sambutan hangat.
Menariknya, lagu ini juga bakal menjadi lagu tema bagi telefilem raya Kimbab berjudul Andartu Cancel Raya yang akan ditayangkan di Astro. Dengan gabungan humor, realiti kehidupan serta sentuhan rentak moden, Drama Raya dijangka menjadi antara lagu baharu pilihan yang akan menyerikan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.