KUALA LUMPUR, 16 Mei 2025 – CHAGEE (M) Sdn Bhd, jenama teh premium yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, kini melangkah lebih jauh dalam strategi peluasan pasaran dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama Magma Group Berhad, sebuah konglomerat pelaburan tempatan yang kukuh dalam sektor hospitaliti dan pembangunan hartanah. Usahasama ini dimeterai melalui anak syarikat milik penuh Magma, Magma Chain Management Sdn Bhd, dengan penubuhan sebuah syarikat usaha sama baharu bernama Chagee Magma Sdn Bhd (JVC).
Di bawah kerjasama ini, CHAGEE (M) akan memegang 60% kepentingan dalam JVC, manakala baki 40% dimiliki oleh Magma Chain Management. Melalui pelancaran berperingkat, JVC menyasarkan pembukaan sehingga 300 cawangan baharu CHAGEE di seluruh Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang, tertakluk kepada keadaan pasaran semasa. Pengumuman lanjut mengenai lokasi cawangan akan dikongsikan pada masa akan datang.
Ditubuhkan pada tahun 2017, CHAGEE telah mengangkat budaya teh tradisional kepada satu pengalaman gaya hidup moden dengan menggabungkan inovasi teknologi dan penjenamaan kreatif. Sejak kemasukannya ke pasaran Malaysia pada tahun 2019 di bawah nama BaWangChaJi, jenama ini telah berkembang pesat dan menjenamakan semula kepada CHAGEE pada September 2021. Malaysia kini menjadi pasaran luar China terbesar bagi CHAGEE, dan kesemua produknya telah diperakui Halal oleh JAKIM – satu usaha yang memperlihatkan komitmen jenama dalam memenuhi keperluan pengguna tempatan secara inklusif.
Menurut Dato’ Sri Thomas Liang Chee Fong, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Magma Group Berhad, kolaborasi ini selari dengan visi strategik kumpulan untuk mempelbagaikan pelaburan ke dalam segmen gaya hidup dan pengguna berimpak tinggi. Beliau turut menyatakan bahawa usaha sama ini menggabungkan kelebihan CHAGEE dalam operasi dan penjenamaan global yang turut diperkukuh dengan penyenaraian di Nasdaq dengan kepakaran Magma dalam pembangunan dan pelaksanaan strategi pasaran tempatan.
Gabungan kekuatan kedua-dua pihak ini dijangka mempercepatkan pertumbuhan jenama CHAGEE di Malaysia. Dengan pengalaman Magma dalam bidang hospitaliti serta kehadiran komersial yang kukuh di seluruh negara, JVC berada dalam kedudukan strategik untuk memenuhi permintaan pengguna terhadap minuman premium yang semakin meningkat, seiring perubahan gaya hidup masyarakat masa kini.
Usahasama ini juga memperkukuh aspirasi Kumpulan Magma untuk membina portfolio perniagaan yang berdaya tahan dan memenuhi kehendak pengguna dinamik Malaysia. Ia sekali gus membuka ruang pertumbuhan baharu bagi kedua-dua pihak dalam pasaran teh premium yang semakin berkembang pesat.