Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) peringkat Lotus’s Malaysia telah dirasmikan, di mana pasar raya ini adalah salah satu daripada 16 syarikat peruncitan utama dan tiga pengendali platform dalam talian yang terlibat dalam KBBM.
Pada tahun 2023, Pasar raya Lotus’s Malaysia berjaya mencatatkan peningkatan nilai jualan barangan tempatan berjumlah RM40.60 juta, berbanding RM40.16 juta pada tahun 2022 dan RM34.63 juta pada tahun 2021. Bilangan Stock Keeping Unit (SKU) barangan tempatan juga meningkat kepada 2,009 pada tahun 2023, berbanding 1,687 pada tahun 2022 dan 1,633 pada tahun 2021.
Dalam usaha untuk memperkukuhkan keupayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menghasilkan barangan tempatan melalui KBBM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyediakan pelbagai program pembangunan. Antaranya termasuk Program Latihan Pembangunan Perniagaan, Program Padanan Perniagaan, dan Penandaan Logo Barangan Malaysia. Program-program ini memberi tumpuan dan bimbingan terhadap peningkatan kemahiran dan pertumbuhan perniagaan PMKS tempatan.
Selain itu, KPDN turut menggalakkan pengusaha tempatan menggunakan platform dalam talian untuk mempromosi, memasarkan, dan melonjakkan nilai jualan produk mereka. Ini selaras dengan trend kepenggunaan global yang memperlihatkan peningkatan kecenderungan pembelian barangan secara dalam talian.
Sebagai contoh, kajian “Voice of Consumer Survey 2024: Asia Pacific” mendapati bahawa pengguna kini lebih cenderung kepada platform pembelian dalam talian berbanding pembelian secara konvensional di kedai fizikal. Kajian tersebut menunjukkan 36% responden menggunakan telefon pintar, 16% menggunakan komputer, dan 13% menggunakan tablet untuk membuat pembelian.
Selain itu, usaha untuk meningkatkan nilai jualan barangan tempatan melalui KBBM juga akan menyasarkan penembusan produk buatan Malaysia ke pasaran antarabangsa. Pada tahun 2024, KPDN akan memperkukuhkan kerjasama dengan beberapa rangkaian pasar raya besar bagi tujuan pengantarabangsaan barangan Malaysia ke pasaran luar negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Jepun, dan China.