Kembalinya Sang Legenda: Trio Gergasi KRU Gegarkan Axiata Selama 3 Hari!

Dengan reputasi cemerlang yang dibina selama lebih tiga dekad, kumpulan legenda KRU kini kembali menyapa peminat menerusi KONSERT GENKRU yang dijadual berlangsung pada 3, 4 dan 10 Mei 2025 di Axiata Arena, Kuala Lumpur. Trio adik-beradik Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim yang mula mencetus revolusi muzik pop dan hip hop di Malaysia sejak tahun 1992, sekali lagi bakal mempersembahkan persembahan berskala mega yang menjanjikan momen penuh nostalgia dan kehebatan muzik sebenar.

Laungan ikonik “ke tepi… ke tepi… gergasi sudah kembali” menjadi simbol kepada kemunculan semula KRU yang tidak pernah lekang daripada memori peminat. Walaupun pelbagai kugiran dan trio baharu muncul dalam industri tempatan, nama KRU kekal utuh sebagai peneraju muzik moden yang membina empayar seni tersendiri. Kejayaan demi kejayaan, anugerah demi anugerah baik dari segi kredibiliti mahupun populariti menjadikan mereka antara kumpulan paling berpengaruh dalam sejarah muzik Malaysia.

Pengasas ICON ENTERTAINMENT, Iman Tang, mendedahkan bahawa usaha membawa KRU kembali ke pentas telah bermula sejak 1 November 2022 lagi. Katanya, selepas lebih dua tahun merisik dan merancang, akhirnya pada September 2024, KRU bersetuju untuk merealisasikan KONSERT GENKRU. Menurut beliau, konsert ini bukan sekadar acara hiburan, malah satu penghormatan kepada legasi yang telah dibina KRU sejak dekad 90-an. Jelas beliau lagi, para peminat pasti akan menyesal jika melepaskan peluang menyaksikan kemunculan semula tiga figura hebat ini di pentas besar.

KRU sebelum ini pernah mengadakan Konsert GenerasiKRU25 di Istana Budaya pada Mei 2018. Selepas lebih enam tahun, mereka kini kembali dengan semangat baharu, membawakan karya-karya nostalgia seperti “Kaset” yang mewakili perjalanan zaman kegemilangan mereka. Lagu tersebut juga dipilih sebagai simbolik kepada kenangan generasi yang membesar bersama muzik KRU.

Dalam kenyataan bersama, KRU menyifatkan KONSERT GENKRU sebagai lebih daripada sekadar persembahan. Ia adalah satu penceritaan perjalanan lebih 30 tahun mereka dalam mencorakkan arah tuju muzik tempatan ke arah taraf antarabangsa. Konsert ini juga bakal menampilkan transisi evolusi KRU dari era 90-an ke masa kini, di samping mengetengahkan bagaimana mereka membina empayar muzik yang kekal relevan hingga hari ini.

KONSERT GENKRU bukan sekadar peluang buat peminat setia mengimbau kenangan lama, tetapi juga medan bagi generasi baharu mengenali sendiri kehebatan trio yang telah mendefinisikan semula landskap muzik Malaysia. Dengan pengalaman, kreativiti dan pengaruh yang tidak tergugat, kehadiran semula KRU ke pentas utama bakal menjadi detik bersejarah dalam industri hiburan tanah air.