Selepas sekian lama menyepi daripada dunia muzik, penyanyi pop rock yang pernah mencuri perhatian ramai menerusi Projektor Band, Iskandar Zulkarnain kini muncul semula dengan single solo terbarunya berjudul Sewaktu Bahagia. Diterbitkan di bawah label ternama Luncai Emas, karya penuh emosi ini menjadi simbol kebangkitan semula seorang penyanyi yang tidak pernah berhenti mencintai muzik.
Lagu Sewaktu Bahagia bukan sekadar sebuah karya biasa. Ia lahir daripada kisah benar dua penciptanya, Aidil AF dan Jeremy Erskine, yang masing-masing pernah merasai pedihnya patah hati. Lirik seperti “kau berubah tanpa ku sedar, kau hancurkan sewaktu bahagia” cukup menggambarkan kesedihan yang terpendam dan kekecewaan terhadap cinta yang tidak kesampaian. Melodinya yang mendayu dan puitis, disulam pula dengan jiwa yang terluka, menjadikan lagu ini sarat dengan rasa.
Menariknya, kolaborasi ini bermula tanpa dirancang. Aidil, yang bersahabat dengan Nabil sepupu kepada Iskandar secara tidak langsung menjadi jambatan kepada pertemuan dua dunia yang saling mencari. Nabil menyampaikan kepada Aidil tentang hasrat Iskandar untuk kembali ke arena muzik. Aidil, tanpa berlengah, membawa Iskandar ke Luncai Emas. Dari situlah bermula perjalanan baharu Iskandar dalam arena solo.
“Bekerjasama dengan Aidil AF dan Dato’ M. Nasir adalah satu penghormatan besar buat saya,” kata Iskandar dengan penuh syukur. “Lagu ini adalah kisah sebenar yang dekat dengan hati, dan saya harap ia mampu menyentuh hati pendengar seperti mana ia menyentuh hati saya.”
Iskandar turut menyatakan impiannya agar Sewaktu Bahagia bukan sahaja diterima baik, malah menjadi lagu malar segar yang terus relevan dan dikenang sepanjang zaman. “Saya amat menghargai semua peminat yang tetap setia menanti kemunculan semula saya. Ini adalah hadiah untuk kalian semua,” ujarnya penuh rasa terharu.

Di sebalik penghasilan lagu ini, berdiri nama-nama besar dan juga bakat muda yang menjadi tulang belakang. Hidayat Nasir, seorang penerbit muda yang juga pemain gitar kumpulan Pitahati, dipilih oleh Keon Omar dari Luncai Emas untuk menggalas tanggungjawab besar sebagai penerbit. Menurut Hidayat, antara cabaran utama ialah memastikan lagu ini menyerlahkan sisi maskulin dan kematangan suara Iskandar.
“Saya amat bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menerbitkan lagu ini. Tanpa sokongan penuh daripada Luncai Emas, kolaborasi ini mungkin tidak menjadi kenyataan,” ujar Hidayat. Proses rakaman juga melibatkan tenaga produksi hebat seperti Zahar (Pitahati) di posisi gitar, Faliq Mohd sebagai jurutera bunyi dan abang Ujang dari kumpulan Exist yang memainkan drum.
Lebih istimewa, Dato’ M. Nasir turut memberikan sentuhan akhir yang bermakna. Nasihat dan bimbingan beliau sepanjang proses rakaman telah memperkasakan lagi penyampaian vokal Iskandar. Pengalaman dan pengaruh legenda muzik tanah air itu jelas memberi nilai tambah terhadap mutu lagu ini.
Sebagai pelengkap, sebuah video lirik Sewaktu Bahagia telah pun dirakam dan bakal dilancarkan bersama audio rasmi di saluran YouTube Luncai Emas serta semua platform digital pada 25 Julai 2025. Lagu ini bukan sekadar kemunculan semula ia adalah suara hati yang ikhlas, ditujukan kepada mereka yang pernah merasai manis dan peritnya cinta. – Tehtariktimes