Hafiz Zainal, penyanyi dan juga doktor gigi yang dikenali menerusi rancangan realiti televisyen Calpis Soda One In A Million di TV3, kini kembali dengan single solo ketujuhnya berjudul ‘Memoir‘. Tapi kali ni, lagu ni bukan sekadar lagu biasa ia adalah sebuah perjalanan emosi yang mendalam, daripada melodi ciptaan mendiang Chaq, abang kepada penyanyi Stacy. Dengan sentuhan magis daripada Bunga Cantik dan Hang Nadim, ‘Memoir‘ jadi karya penuh jiwa bagi meneruskan legasi muzik Chaq.
Menurut Hafiz, lagu ni asalnya belum siap sepenuhnya, dan Stacy yang melengkapkannya sebelum menyerahkan kepada beliau. “Lebih kurang setahun selepas pemergian mendiang Chaq, Stacy mempercayai saya untuk sampaikan lagu peninggalan mendiang abangnya. Pada mulanya, Stacy sendiri nak nyanyi lagu ni, tapi dia rasa genre dan emosi ‘Memoir‘ lebih kena dengan gaya saya,” kata Hafiz.
“Bila saya dengar melodi dan lirik asal, terus rasa emosi tu menusuk ke jiwa. Stacy siapkan lagu ni untuk sambung karya mendiang abangnya, dan itu buatkan proses rakaman ‘Memoir‘ jadi lebih peribadi dan bermakna bagi saya,” tambahnya lagi.
‘Memoir‘ hadir dengan gabungan muzik yang unik — melodi diinspirasikan daripada lagu Cina, tetapi dibawa dalam gaya balada Melayu yang dekat dengan jiwa pendengar tempatan. Hafiz juga memberi suntikan elemen R&B dalam nyanyiannya, sebagai penambah rasa segar dan vibe tersendiri. “Cabaran terbesar saya ialah kawalan suara sebab julat lagu ini luas, dari nada rendah ke tinggi ditambah pula dengan pelbagai penggunaan teknik vokal. Emosi lagu ni pun fleksibel, bergantung kepada interpretasi pendengar dan cara penyampaian,” jelas Hafiz.
Proses rakaman telah mengambil masa lebih kurang tiga jam, dengan bimbingan daripada Bunga Cantik dan Hang Nadim. “Kerjasama dengan mereka memang pengalaman yang saya hargai dalam karier seni saya. Cara kerja mereka santai tapi sangat teliti, kreatif, dan ikhlas. Setiap karya mereka ada jiwa,” kata Hafiz lagi.
Bunga Cantik juga sempat berkongsi, “Mula-mula, lirik ‘Memoir‘ lebih kepada nuansa sedih, tapi dengan susunan semula daripada Hang Nadim, ia jadi lebih universal. Lagu ni sesuai untuk memori kasih— sama ada hubungan yang masih ada, atau kenangan dengan orang tersayang yang sudah tiada.”
Hafiz berharap ‘Memoir‘ dapat menyentuh hati pendengar, terutamanya yang ada kenangan dengan insan tersayang. Beliau juga mengimpikan agar lagu ini boleh pergi lebih jauh — mungkin ke Anugerah Juara Lagu (AJL) atau menjadi OST drama atau filem.
Sekarang, ‘Memoir‘ sudah pun boleh didengarkan di semua platform penstriman! Jom hayati setiap bait lirik dan melodi yang pasti buat kita rasa sesuatu.
Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.