Karnival Jom Heboh Sabah (KJH Sabah) sekali lagi membuktikan kehebatan warga Borneo apabila perkarangan Kompleks Sukan Kota Kinabalu dibanjiri lebih 300,000 pengunjung sepanjang tiga hari berturut-turut pada 27 hingga 29 Disember 2024. Sebagai lokasi terakhir untuk edisi jelajah tahun ini, karnival ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan peringkat usia, menjadikannya acara padang pilihan utama untuk seisi keluarga.
Karnival kali ini lebih istimewa dengan kehadiran tetamu kehormat seperti Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Bin Samitah, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu; Yang Dihormati ACP Ahmad Bin Jawila, ACP Pentadbiran Jabatan Pengurusan IPK Sabah; serta Yang Berbahagia Datuk Janih Bangud, Timbalan Pengerusi Lembaga Sukan Sabah. Turut hadir ialah Datuk Mohd Efendi Omar, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia; Farrah Naz Karim, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima Berhad; dan Encik Azhari Muhiddin, Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA), Rangkaian Televisyen Media Prima.
Studio Tonton Drama Sangat turut memeriahkan karnival dengan kehadiran selebriti popular tanah air seperti Khai Bahar, Reen Rahim, Imran Aqil, Rita Nadira, Nelissa Nizam, Sophia Albarakbah, dan Sharifah Rose. Sepanjang tiga hari, peminat berpeluang bergambar dan beramah mesra dengan selebriti kegemaran mereka. Lebih menarik lagi, Studio Tonton Drama Sangat menawarkan cabutan bertuah khas dengan hadiah utama berupa Samsung Smart TV bersaiz 65 inci bernilai RM3,500!
Kemuncak karnival ialah Konsert Jom Heboh yang dikuasakan oleh U Mobile, berlangsung pada 28 dan 29 Disember 2024. Menampilkan Muaz Mohamed dan Ayu Hotfm sebagai pengacara, konsert ini memikat ribuan penonton. Malam pertama menyaksikan persembahan bertenaga daripada Floor 88, Bella Astillah, Wani Kayrie, Ara Johari, Marsha Milan, dan Khai Bahar. Malam kedua pula menyajikan persembahan memukau oleh Hael Husaini, Ayu Damit, Amylee Azizan, Shila Amzah, Stacy, dan Suki Low, termasuk persembahan istimewa alumni One In A Million yang meraikan kebangkitan program ikonik ini selepas 15 tahun.
KJH Sabah juga menampilkan elemen e-sukan melalui kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) bertemakan “Todak x NSTP Mari Bah Kita Langgar,” anjuran New Straits Times Press (NSTP) dan Todak. Dengan penyertaan 32 pasukan dan lebih 200 pemain berdaftar, kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mempamerkan bakat tetapi juga menarik minat generasi muda terhadap e-sukan.
Nantikan edisi jelajah KJH 2025 yang pasti lebih meriah! Dianjurkan oleh Media Prima Berhad, Karnival Jom Heboh terus mencatat kehadiran luar biasa di setiap lokasi, dengan lebih 300,000 pengunjung setiap tahun. Diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai ‘Acara Padang Paling Lama,’ karnival ini telah menjadi acara tahunan wajib untuk rakyat Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, kunjungi laman web www.jomheboh.com.my dan ikuti media sosial rasmi @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram. Sertai kemeriahan karnival ini dan nikmati pelbagai hiburan menarik untuk seluruh keluarga!