Peminat muzik di Malaysia bakal disajikan dengan pengalaman unik apabila Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 membuka tirai dengan persembahan emosional dan penuh makna pada 17 Ogos ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Lebih istimewa, festival kali ini menampilkan band pop terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy, sebagai tarikan utama yang dijangka menarik ribuan penonton.
Dianjurkan oleh Expoindo bersama syarikat konsert tempatan Thrive, RIF 2025 mengetengahkan konsep berbeza daripada festival muzik konvensional. Ia menggabungkan elemen persembahan muzik dengan perkongsian kisah sebenar dan pengalaman peribadi para artis, menjadikan setiap momen di atas pentas lebih mendalam, menyentuh hati, dan memberi inspirasi kepada penonton.
Juicy Luicy yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Lantas, Sialan, dan Lampu Kuning, mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan peminat muzik muda di Malaysia. Lirik mereka yang realistik dan penuh emosi sering kali menjadi cerminan perasaan anak muda, menjadikan mereka antara kumpulan paling relevan dan diminati masa kini.
Menurut wakil penganjur Expoindo, pemilihan Juicy Luicy sebagai artis utama dibuat berdasarkan permintaan tinggi dari peminat tempatan dan kemampuan mereka menyampaikan persembahan yang bukan sahaja bertenaga, tetapi juga menyentuh jiwa.
“RIF diwujudkan bukan sekadar untuk hiburan semata-mata. Kami ingin membuka ruang kepada peminat untuk mendekati dunia sebenar di sebalik lagu – perjuangan, kegagalan, kejayaan dan inspirasi yang membentuk setiap karya,” kata mereka.

Menariknya, RIF 2025 akan diadakan dalam dua sesi pada hari yang sama – sesi tengah hari dan malam – memberi pilihan kepada penonton untuk memilih pengalaman yang paling sesuai dengan mereka. Juicy Luicy akan membuat persembahan eksklusif pada sesi malam.
Bukan itu sahaja, pihak penganjur turut merancang untuk membawa RIF ke beberapa bandar utama lain di Malaysia sebagai sebahagian daripada misi memperluas impaknya dan mengukuhkan jalinan budaya antara industri muzik Malaysia dan Indonesia.
Tiket presale bagi sesi malam akan mula dijual pada Khamis, 3 Julai 2025 jam 12.00 tengah hari melalui aplikasi BBO Events dan laman rasmi ri-fest.com/kualalumpur. Harga tiket bermula dari RM128 hingga RM528, termasuk pilihan istimewa untuk sesi bergambar berkumpulan.
Harga tiket bagi sesi tengah hari pula akan diumumkan tidak lama lagi.
Ruang Inspirasi Festival 2025 bukan sekadar sebuah acara hiburan. Ia adalah perayaan tentang muzik, kehidupan dan inspirasi – sebuah ruang di mana penonton bukan hanya mendengar, tetapi turut merasai dan terhubung.http://tehtariktimes