Ismail Izzani Muncul Dengan “Tenggelam”

Penyanyi dan penulis lirik berbakat, Ismail Izzani, kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul “Tenggelam”, sebuah lagu yang menggambarkan emosi cinta yang mendalam dan penuh kejujuran. Dibalut dengan melodi yang menyentuh jiwa serta lirik yang dekat di hati, lagu ini turut menampilkan kematangan Ismail sebagai artis.

Lagu tersebut merupakan hasil kolaborasi bersama Brendan Lim Seng Meng dari segi penulisan lirik, manakala gubahan pula dikendalikan oleh Amanda Gnai Song Hui dan Brendan sendiri. Proses susunan dan penerbitan pula disempurnakan oleh kumpulan produksi terkenal, MFMF.

Menurut Ismail, idea untuk lagu ini tercetus secara spontan semasa sesi rakaman pertama di studio MFMF. Beat yang dimainkan ketika itu terus memberi inspirasi kepadanya, dan sebahagian besar lirik datang daripada dirinya sendiri. Katanya, “Tenggelam bukan tentang kesedihan, tetapi metafora rasa cinta yang membalut diri apabila kita bertemu seseorang yang benar-benar memahami.”

Sepanjang proses pembikinan, Ismail mengakui bahawa bekerja dengan MFMF. banyak mengembangkan kreativiti dan memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna. Persekitaran studio yang selesa turut membantu beliau mengekspresikan emosi dengan lebih jujur.

Muzik video rasmi “Tenggelam” pula membawa konsep berbeza tanpa naratif konvensional, sebaliknya lebih kepada penyampaian mood dan emosi visual dengan aura Y2K yang segar. Penggambaran bermula seawal jam 4 pagi, dan menurut Ismail, ruang untuk improvisasi membolehkan banyak idea spontan dilahirkan di set.

Antara momen paling bermakna buatnya ialah apabila dapat bekerjasama semula dengan individu penting yang bersamanya sejak awal karier, iaitu Ghazi Maslan dan Lily.

Ismail berharap lagu ini dapat menyentuh hati pendengar dan menunjukkan sisi dirinya bukan sekadar sebagai penyanyi, tetapi juga seorang pemuzik dan penghibur yang memberi impak. “Saya mahu orang rasa vibe yang saya bawa. Moga Tenggelam jadi permulaan kepada lebih banyak karya selepas ini,” tambahnya.

Single “Tenggelam” kini tersedia di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music, manakala muzik video rasmi telah dilancarkan di saluran YouTube Ismail Izzani pada 19 Jun 2025. – Tehtariktimes