Inspirasi Raudhah: Menyatukan Tradisi Islam dan Teknologi Terkini

TV3, TV9, dan Tonton dengan penuh bangga melancarkan program baharu, Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman, dalam sebuah majlis istimewa baru-baru ini. Program yang dirancang sebanyak empat siri sepanjang tahun ini bertujuan mendekati lebih ramai penonton setia slot Raudhah sambil menyampaikan ilmu agama secara mendidik dan penuh inspirasi.

Program ini membuka ruang untuk mendalami mesej Islam dengan pendekatan yang segar dan moden. Dalam siri pertama, forum yang dipandu oleh moderator Hj. Ahmad Noor Sulaiman bersama dua panel berwibawa, Ustaz Adnin Roslan dan Ustaz Khairul Anuar Basri, membincangkan pelbagai topik menarik berkaitan azan.

Perbincangan bermula dengan sejarah kelahiran azan, yang terinspirasi daripada mimpi sahabat Rasulullah SAW, dan terus merungkai kepentingan azan sebagai panggilan agung Allah SWT. Panel turut mengupas persoalan menarik seperti hikmah mengapa Rasulullah SAW tidak melaungkan azan sendiri dan nilai besar menjawab azan walaupun hukumnya sunat muakkad.

Menurut Ustaz Adnin Roslan, keutamaan berselawat dan membaca doa selepas azan menjadi peluang untuk mendapatkan syafaat Rasulullah SAW, seperti yang terkandung dalam hadis. Sementara itu, Ustaz Khairul Anuar Basri menggambarkan azan sebagai lambang “jangan bertangguh,” manakala Ustaz Adnin menyifatkannya sebagai “panggilan cinta” kepada Allah SWT.

Menurut Encik Ruzmi Kamaruddin, Ketua Jabatan Pengisian Islam, Media Prima Berhad, program ini turut memperkenalkan visual azan versi baharu yang menggabungkan teknologi AI sebanyak 70%. Rakaman menggunakan drone memberikan sudut pandang menakjubkan keindahan masjid-masjid dan menara ikonik di seluruh ASEAN. Pendekatan ini menggambarkan kemajuan Islam yang selari dengan teknologi, menghubungkan tradisi dan inovasi.

Berbeza dengan rancangan keagamaan tradisional, Inspirasi Raudhah disiarkan secara langsung melalui platform digital TikTok TV3, menjadikannya lebih dekat dengan generasi muda. Format yang moden, interaktif, dan mesra media sosial ini membawa nafas baharu dalam penyampaian dakwah Islamik.

Program ini dijadualkan berlangsung sepanjang tahun, dengan topik-topik baharu yang menjanjikan pengisian ilmiah dan bermanfaat. Penonton boleh menantikan diskusi yang lebih mendalam bersama panel yang berpengalaman, memberi peluang untuk menimba ilmu dan mengambil ibrah dari setiap episod.

Untuk tidak ketinggalan, saksikan siri Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman secara langsung di TikTok TV3. Program ini adalah peluang untuk penonton mendalami ilmu agama dalam suasana yang moden dan mudah diakses.

Dapatkan perkembangan terkini di platform media sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram melalui @TV3Malaysia, serta TV9 di @TV9Malaysia dan TikTok @TV9MalaysiaOfficial. Saksikan kandungan eksklusif dan menarik hanya di hujung jari anda!