Dalam usaha memperkukuh pembangunan mampan dan pelancongan hijau di Negeri Perak, Casuarina Meru Sdn. Bhd. (CMSB), anak syarikat Perak Corporation Berhad (PCB) di bawah naungan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), hari ini telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pemasangan kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) di Hotel Casuarina@Meru.
Majlis pertukaran dokumen perjanjian ini disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, di Casuarina Convention Centre. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah YB Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, serta wakil-wakil daripada TNB dan PKNPk. Kerjasama ini menandakan peranan aktif sektor awam dan swasta dalam menyokong pembangunan infrastruktur mobiliti rendah karbon, selaras dengan Perak Sejahtera 2030.
Melalui perjanjian ini, TNB akan memasang satu unit pengecas pantas DC 120kW dengan muncung berkembar (CCS2) dan dua unit pengecas AC 22kW di perkarangan hotel. Kemudahan ini bakal dilengkapi dengan ruang parkir khas untuk EV, akses 24 jam, serta sistem pembayaran digital menggunakan aplikasi mudah alih, menawarkan pengalaman pengecasan yang lebih mudah dan efisien.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menyatakan, “Majlis hari ini bukan sekadar simbolik, tetapi juga bukti komitmen Kerajaan Negeri Perak untuk meneruskan pembangunan yang berteraskan kelestarian. Di bawah Perak Sejahtera 2030, kami berhasrat untuk membina ekonomi hijau melalui inovasi dan penciptaan peluang pekerjaan. Kerjasama dengan TNB dan Casuarina Meru akan memberi impak positif terhadap kelestarian alam dan pembangunan ekonomi negeri.”
Setakat ini, Perak telah berjaya membangunkan 149 petak pengecas EV di 56 lokasi strategik merangkumi kawasan bandar, luar bandar, serta lokasi eko-pelancongan. Inisiatif terbaru ini diharap dapat mempercepatkan pencapaian sasaran 500 pengecas EV menjelang 2025.

(From left to Right) Puan Sabrina Ahmad Tah, Pengurus Besar Casuarina Meru Sdn Bhd, Tuan Syed Omar Albar Bin Syed Abdullah, Timbalan Ketua Eksekutif Perancangan dan Pembangunan) Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Yang Berhormat Tuan Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Yang Berhormat Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad, Menteri Besar Perak, Yang Berhormat Dato’ Mohd Zaki Bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Yang Berbahagia Datuk Ir. Megat Jalaluddin Bin Megat Hassan, President/Chief Executive Officer, Tenaga Nasional Berhad, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Azhar Bin Jamaluddin, Pengerusi Lembaga Pengarah Casuarina Meru Sdn. Bhd., Tuan Ir. Dr. Mohd Fadzil bin Mohd Siam, Chief Strategic & Ventures Offices, Strategic & Ventures Division (SVD) during the agreement ceremony between Casuarina Meru Sdn Bhd (CMSB), a subsidiary of Perak Corporation Berhad; a public listed company under Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), with Tenaga Nasional Berhad (TNB) for the operation of electric vehicle (EV) charging station at Hotel Casuarina@Meru.
Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin, Pengerusi Casuarina Meru Sdn. Bhd., menyatakan, “Inisiatif ini bukan sahaja mempertingkatkan pengalaman penginapan tetamu, malah juga memperkukuh kedudukan hotel sebagai destinasi pelancongan hijau. Fasiliti pengecas EV terpantas di Ipoh akan menyumbang kepada usaha menjadikan Perak sebagai peneraju pelancongan hijau.”
Selain itu, majlis tersebut turut menyaksikan demonstrasi langsung pengecasan EV dengan menggunakan model Proton e.MAS, memberikan gambaran tentang kebolehlaksanaan teknologi pengecas EV tempatan serta kesesuaian infrastruktur yang telah disediakan.
Kemudahan ini dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2025, di bawah jenama Elektron milik TNB. Inisiatif ini turut menyokong sasaran negara untuk mewujudkan 10,000 pengecas EV menjelang 2025, serta memajukan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dalam pembangunan negara.
Datuk Redza Rafiq, Ketua Eksekutif PKNPk, turut menambah, “PKNPk sentiasa berusaha untuk menerapkan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dalam semua aspek operasi, termasuk pemasangan panel solar di Casuarina Convention Centre dan hotel, bagi mengurangkan pelepasan karbon dan memperkukuh peranan kami sebagai peneraju hospitaliti hijau di negeri ini.”
Majlis ini menandakan langkah penting dalam mempercepatkan pembangunan infrastruktur mampan, sekaligus membentuk masa depan Perak yang lebih hijau, inovatif dan progresif.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Intan Tantiyana Puteri Binti Jaafar, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) di E: intan@pknpgroup.com.my atau M: +6019 5400 004, dan Mahathir Mohamad, Ketua, Hospitaliti dan Pelancongan, Perak Corporation Berhad di E: mahathir@perakcorp.com.my atau M: 019-2020190.