Fenomena baharu terus menggegarkan Slot Samarinda TV3 apabila drama bersiri popular Hilang Dalam Rindu kini tiba di penghujungnya. Malam ini, Rabu, 20 Ogos 2024 jam 10.00 malam, penonton bakal menyaksikan episod terakhir yang penuh emosi dan mendebarkan.
Drama ini mengisahkan perjalanan cinta penuh konflik antara Eijaz dan Aira yang sejak episod pertama lagi sudah mencuri perhatian, menjadi bualan hangat serta trending di media sosial setiap minggu.
Episod akhir ini dijangka mencatat lebih 3.5 juta tontonan, menjadikannya salah satu penamat drama paling ditunggu-tunggu tahun ini. Malam kemuncak ini bukan sekadar mengakhiri cerita, tetapi juga menjadi detik istimewa yang menyatukan jutaan penonton bersama barisan pelakon hebat yang telah menghidupkan kisah cinta penuh liku ini.

Sepanjang lima minggu tayangan, Hilang Dalam Rindu mencetuskan fenomena luar biasa dengan jalan cerita yang sarat dengan cinta, dendam, pengorbanan, dan kejutan. Setiap episod berjaya membuatkan penonton ternanti-nanti kesudahan perjalanan cinta Eijaz dan Aira.
Menurut Jazmy Juma, “Perjalanan mereka penuh air mata dan dugaan. Tetapi di hujungnya, cinta membuktikan bahawa pengorbanan tidak pernah sia-sia. Drama ini ingin menyampaikan mesej bahawa wang tidak mampu menutup segala kesalahan. Kejujuran adalah kunci untuk menyelesaikan masalah.”
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan episod akhir Hilang Dalam Rindu malam ini di TV3 atau strim secara eksklusif di Tonton (www.tonton.com.my) serta aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.