Industri muzik tempatan semakin meriah dengan kehadiran bintang muda, Hakim Hay. Dengan suara merdu dan pesona yang memikat, Hakim Hay cepat mencuri perhatian peminat muzik tanah air.
Penyanyi berusia 19 tahun ini memulakan langkahnya dengan single sulung berjudul ‘Hello Cinta’. Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Hanis Rafi, Omar K dan Iqie Hugh.
Hakim Hay hadir dengan gaya muzik yang segar, menggabungkan elemen pop, balada, dan sentuhan indie yang memikat hati. Vokalnya yang penuh emosi dan kemampuannya menyampaikan lirik yang dekat dengan kehidupan sehari-hari membuatkan Hakim Kay mampu menambat hati ramai pendengar dengan lagu yang menyentuh jiwa.
Hakim memilih genre ini kerana dianggap sesuai dengan pasaran muzik semasa dan dekat dengan golongan remaja.
“Genre muzik ini terbukti mendapat sambutan hangat daripada golongan muda kerana ia mampu menyampaikan mesej yang dapat dirasai oleh mereka. Selain itu, populariti genre ini turut berkembang pesat dalam kalangan remaja kerana ia mampu mencerminkan realiti kehidupan mereka pada masa kini,” katanya.
“Genre muzik ini juga mampu memberikan impak yang positif dan membanggakan kerana ia mampu menyelaraskan diri saya dengan kehendak serta keperluan muzik muda-mudi pada hari ini. Dengan kata lain, genre muzik ini bukan sahaja mendapat sambutan melebihi jangkaan tetapi juga mampu mengekalkan relevansi di dalam industri muzik semasa dengan mencipta gelombang positif dalam kalangan generasi muda,” tambahnya.
“Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya genre muzik ini terus menjadi kegemaran remaja dan mampu membentuk identiti mereka melalui lagu-lagu yang unik dan bermakna yang dihasilkan dalam genre ini,” jelasnya lagi.
‘Hello Cinta’ mengisahkan tentang seorang jejaka yang jatuh cinta pandang pertama dengan seorang gadis.
“Selepas beberapa kali pertemuan, si jejaka berada dalam keadaan keliru sama ada untuk menegur dan berkenalan dengan gadis itu. Setelah berkenalan, bibit-bibit pencintaan berputik antara mereka. Mampukah jejaka ini mengisi ruang hati si gadis yang baharu dikecewakan kekasih terdahulu? ‘Hello Cinta’ ada jawapannya,” kongsi Hakim.
Hakim juga menceritakan pengalamannya merakam lagu ini dan bekerjasama dengan komposer serta pasukan penerbitan dalam menghasilkan video muzik ‘Hello Cinta’.
“Pengalaman merakam lagu ini tidak lama. Ia mengambil masa kurang enam jam untuk mendapatkan rentak dan ‘tone’ suara yang sesuai. Komposer iaitu Hanis Rafi, Omar K dan Iqie Hugh, sangat mudah dan mereka banyak memberi tunjuk ajar kepada saya sepanjang proses rakaman lagu ini,” katanya.
“Pengambaran MV pula diarahkan oleh Amylea Azizan yang berjiwa ‘muda’ menggambarkan penceritaan lagu yang cukup santai, ‘sweet’ dan bersahaja. Tak lupa juga kepada semua kru yang terbabit serta pembawa watak Zarif Ghaz dan Alissa yang memberi komitmen sangat baik sepanjang penggambaran,” tambahnya lagi.
Sebagai penyanyi baru, Hakim berharap lagu ‘Hello Cinta’ dapat diterima baik oleh peminat muzik tempatan.
“Saya sangat bersungguh untuk menyampaikan mesej cinta melalui lagu ini, dengan harapan dapat menginspirasi dan menyentuh hati pendengar. Melalui melodi yang indah dan lirik yang mendalam, saya berharap agar lagu ini dapat menjadi sumber kegembiraan dan ketenangan bagi mereka yang mendengarkannya,” katanya penuh harapan.
“Dengan penuh semangat, saya ingin berkongsi bakat dengan lebih ramai orang serta ingin membina hubungan yang lebih rapat dengan komuniti muzik tempatan. Inilah yang mendorong saya untuk terus berkarya dan menghasilkan lagu-lagu yang bermakna, dengan impian agar dapat mencapai kejayaan yang lebih besar dalam arena muzik tempatan,” tambahnya lagi.
“Semoga lagu ini juga menjadi batu loncatan untuk terus memahat nama di hati penggemar muzik tanah air. Mungkin ke pentas prestij Anugerah Juara Lagu?,” katanya mengakhiri perbualan.