GENKRU Bakal ‘Meletop’ di Singapura! Bersedia Untuk Aksi Penuh Gempak

Bukan KRU jika tidak mencipta fenomena! Selepas kejayaan luar biasa Konsert GenKRU di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kini legasi muzik KRU akan menggegarkan Singapura! Para peminat di Kota Singa bersedia untuk menyaksikan kemunculan semula kumpulan legenda ini dalam GenKRU Live In Singapore, yang dijadualkan pada 28 Jun 2025 di The Star Theatre!

KRU, yang terkenal dengan lagu-lagu hits seperti “Awas”, “Ohh! La!la!”, dan “Fanatik”, kembali selepas bertahun lamanya tidak menyapa peminat di Singapura. “Kami sangat teruja untuk kembali ke Singapura dan memberikan peminat di sini pengalaman konsert yang luar biasa. Sudah lama kami tidak mengadakan persembahan di sini, jadi ini adalah satu penghormatan yang besar buat kami,” ujar Norman Abdul Halim, salah seorang anggota KRU.

Sambutan hangat terhadap Konsert GenKRU di Kuala Lumpur yang menjual habis semua kategori tiket dalam tempoh yang singkat membuktikan bahawa KRU masih mempunyai tempat yang kukuh di hati peminat. Kejayaan tersebut mendorong penganjur, ICON Entertainment, untuk membawa konsert ini ke Singapura. “Kami percaya peminat di Singapura layak untuk merasakan pengalaman yang sama, dan kami mahu memberikan mereka satu momen bersejarah melalui GenKRU Live di Singapura,” kata Iman Tang, pengasas dan pemilik ICON Entertainment.

Konsert GenKRU Live In Singapore ini akan berlangsung selama satu malam penuh dengan kenangan dan keseronokan. Tiket untuk acara ini akan dijual secara berperingkat dan dijangka akan habis terjual dalam masa yang singkat. Oleh itu, pastikan anda tidak terlepas peluang untuk membeli tiket sebaik sahaja jualan dibuka di Sistic!

Maklumat Acara Artis: KRU Acara: GenKRU Live In Singapore Tarikh: 28 Jun 2025 (Sabtu) Lokasi: The Star Theatre, Singapura Masa: 8 malam Penganjur: ICON Entertainment Tiket: Sistic Laman Web: www.sistic.com.sg

Harga Tiket: SGD $208 (The Way We Jam) SGD $218 (Mengerti) SGD $228 (Awas) SGD $288 (Ohh! La!la!) SGD $328 (Fanatik)

Tiket dibuka untuk dijual secara berperingkat, jadi jangan tunggu lagi! Dapatkan tiket anda secepat mungkin dan bersiaplah untuk malam yang penuh emosi, nostalgia, dan muzik legendaris bersama KRU. Jangan lupa untuk mengikuti semua perkembangan terkini mengenai konsert ini di laman sosial rasmi KRU dan ICON Entertainment.

Siapkan diri, semangat, dan suara untuk menyanyi bersama KRU di GenKRU Live In Singapore!