Memasuki edisi keempat, Gempak Most Wanted Awards (GMWA) kembali meraikan pencipta digital dan figura terkemuka dalam industri hiburan Malaysia. GMWA 2025 akan disiarkan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam pada 15 Februari 2026, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), menampilkan persembahan, kolaborasi, dan detik kemenangan yang mengujakan. Tahun ini, GMWA mengangkat tema ‘Re-Culture’ sebagai cerminan tafsiran semula elemen budaya yang telah sebati dalam masyarakat agar terus relevan dengan peredaran zaman. Konsep ini diterjemahkan secara menyeluruh dalam setiap aspek malam anugerah, termasuk kod pakaian, persembahan pentas, serta kolaborasi artis. Dengan menggabungkan ekspresi kontemporari dan pengaruh budaya tempatan, GMWA 2025 meraikan evolusi budaya yang dinamik sambil mengekalkan nilai bersama dan identiti kreatif sebagai tunjang utama.
“Kami amat teruja kerana GMWA terus mendapat sokongan padu daripada para peminat, calon, rakan kongsi, dan komuniti digital,” kata Syazwan Zakariah, Ketua Content Studio Astro. “Setiap tahun, kita menyaksikan kemunculan pencipta digital baharu serta kandungan yang segar, namun GMWA kekal berpegang pada tradisi untuk meraikan pempengaruh serta selebriti yang membawa nilai positif kepada masyarakat melalui medium hiburan. Tema tahun ini, ‘Re-Culture’, membawa lebih makna kerana ia bukan sekadar konsep, tetapi menjadi suatu penghubung. Dengan memperkasa barisan calon dan pencipta kandungan menerusi kerja-kerja komuniti, kami ingin memastikan usaha menghidupkan budaya bukan sekadar simbolik, tetapi benar-benar memberi impak kepada masyarakat.”
Kemeriahan acara bermula dengan Showcase Gempak Most Wanted Awards 2025, program karpet merah interaktif yang disiarkan di Astro Ria dan Astro Gempak pada jam 8.30 malam. Dikendalikan oleh penyampai ERA, Isha Norsham, bersama pencipta kandungan MdNo (Muhammad Noor Zakaria), sesi ini meraikan kreativiti dan gaya apabila tetamu hadir dengan fesyen ‘Re-Culture’ tersendiri. Segmen temu bual turut diperkaya dengan sesi fotografi dan permainan interaktif yang menghubungkan penonton di lokasi serta penonton yang mengikuti siaran menerusi platform sosial Astro. Persembahan oleh Sissy Iman, Yonnyboii, Killa Driz, Erika Foo, dan Inferno3 bersama Shiha Zikir menghangatkan pentas karpet merah sebelum malam kemuncak anugerah bermula.
Pengacara Sean Lee dan Amelia Henderson membuka tirai acara dengan malam yang meraikan budaya pop, kreativiti, serta suara yang mencorakkan landskap hiburan Malaysia. Bertemakan ‘Re-Culture’, persembahan dibuka dengan gandingan barisan penari berkelas dunia, Zeppo Youngsterz, dan nyanyian hebat Aisha Retno. Persembahan diikuti kolaborasi dinamik Fahimi Rahmat & Nazu serta Zynakal & Zamir Harith yang membawa suntikan bunyi dan perspektif segar ke pentas. Detik istimewa diteruskan apabila Nadeera kembali bergandingan dengan Hael Husaini, serta persembahan istimewa daripada ALPHA. Malam tersebut turut diperkukuh dengan kolaborasi Aina Abdul bersama bintang seberang Fadhilah Intan, vokal memukau Marsha Milan, serta penampilan bakat meningkat naik Zaki Yamani dan Thalita sebelum kemuncak acara dengan persembahan penuh meriah Dayang Nurfaizah.
Sepanjang malam, para pemenang diumumkan oleh barisan penyampai jemputan termasuk Sharifah Sakinah, Ammar Ahyan, Sophia Albarakbah, Maxximus Towle, Christy Ng & The Bengap Brothers, Que Haidar, Tracie Sinidol, Nylea Adzlan, Haziq Hussni, Munaabella, serta Anzalna Nasir bersama keluarga, menambahkan keterujaan setiap detik penyampaian anugerah. Rakaman penuh GMWA 2025 boleh disaksikan secara On Demand di Astro GO dan sooka. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf.
Selain meraikan pencapaian dalam dunia hiburan, GMWA 2025 turut mengetengahkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial melalui inisiatif Gempak Gives Back. Dengan kerjasama Ronald McDonald House Charities (RMHC) sebagai badan kebajikan pilihan, program ini bertujuan menyampaikan sokongan dan keceriaan kepada keluarga yang memerlukan. Beberapa calon terlibat dalam aktiviti ini, termasuk ‘makeover’ dapur, balkoni rehat, dan sambutan ulang tahun di rumah kebajikan, dengan momen-momen dikongsikan melalui platform digital Astro Gempak dan saluran calon, menunjukkan bagaimana pengaruh boleh dimanfaatkan untuk kebaikan dan perubahan bermakna.
Antara selebriti dan pencipta digital terkemuka yang terlibat ialah Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Amira Othman, ALPHA, Jazmy Juma, Meerqeen, Mierul Aiman, Nadhir Nasar, Tracie Sinidol, Zahiril Adzim, dan Zarif Ghazzi. Persembahan lagu, video muzik, drama, program digital, serta kategori pencipta digital merangkumi pelbagai genre dan subkategori yang mempamerkan bakat tempatan dan generasi baharu dalam industri hiburan Malaysia.
#GMWA2025 #ReCulture #AstroOne #AstroGempak