Penyakit jantung terus menjadi antara kebimbangan utama dalam kesihatan awam di Malaysia, dengan hampir 30,000 kematian direkodkan akibat penyakit jantung iskemik pada tahun 2023. Lebih membimbangkan, rakyat Malaysia mengalami serangan jantung pada purata umur 58 tahun, iaitu hampir lapan tahun lebih awal berbanding purata umur global. Menyedari hakikat ini, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) mengambil inisiatif proaktif dengan menganjurkan acara tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertajuk Pulse of Life: The Ultimate Heart Health Experience yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 April 2025 di Main Atrium, Tingkat G, Pusat Beli-Belah Sunway Velocity, Kuala Lumpur.
Acara kesihatan ini bakal menampilkan pelbagai aktiviti interaktif yang memberi penekanan kepada kesedaran dan penjagaan kesihatan jantung. Antara tarikan utama ialah Immersive Visual Journey, sebuah pengalaman visual unik yang memaparkan degupan jantung individu dalam bentuk cahaya artistik. Selain itu, pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) berskala besar akan turut diadakan secara percuma kepada pengunjung, yang mana kedua-dua inisiatif ini diperkenalkan buat kali pertama di Malaysia. Pemeriksaan ini akan disokong oleh barisan pakar perubatan dari SMCV termasuk Pakar Perunding Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman yang akan berada di lokasi bagi mentafsir keputusan dan memberi panduan profesional kepada peserta yang memerlukan tindakan susulan.
Menurut Dr Tee Hian, Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di SMCV, penyakit jantung kini bukan lagi terhad kepada golongan berusia, malah semakin ramai individu muda di Malaysia turut didiagnosis dengan masalah kardiovaskular. Beliau menegaskan bahawa kesedaran awal, ilmu pengetahuan dan perubahan kecil dalam gaya hidup mampu memberi impak besar dalam mencegah penyakit ini. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMCV, Susan Cheow, menekankan bahawa pendidikan dan pencegahan perlu bergerak seiring. Justeru, melalui acara ini, mereka ingin mengetengahkan pentingnya penjagaan kesihatan jantung secara lebih menarik, bermaklumat dan mudah diakses oleh masyarakat umum.
Acara ini juga bakal menyaksikan penglibatan pelbagai jenama kesihatan terkemuka seperti Sunway Multicare Pharmacy dan ChiX Fitness yang akan menyediakan gerai pameran, nasihat kesihatan serta aktiviti kecergasan. Pengunjung juga boleh menyertai kelas senaman secara percuma dan menyertai cabaran kecergasan yang dikendalikan oleh ChiX Fitness. Di samping itu, mereka boleh meneroka Galeri Pendidikan Kesihatan Jantung serta Pameran Jantung Gergasi oleh Viatris yang menyediakan informasi interaktif mengenai fungsi jantung, punca penyakit, faktor risiko serta kesan gaya hidup terhadap kesihatan kardiovaskular.
SMCV turut menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan secara percuma sepanjang acara seperti sesi kaunseling ubat-ubatan bersama ahli farmasi, vaksinasi serta pemeriksaan asas kesihatan merangkumi tekanan darah, tahap gula dan kolesterol yang dijalankan oleh jururawat bertauliah. Orang ramai digalakkan untuk hadir bagi mendapatkan manfaat daripada pelbagai aktiviti dan pemeriksaan yang disediakan, di samping meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan jantung yang sihat.
Acara Pulse of Life: The Ultimate Heart Health Experience akan berlangsung dari 25 hingga 27 April 2025 (Jumaat hingga Ahad), bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam, bertempat di Main Atrium, Tingkat G, Pusat Beli-Belah Sunway Velocity, Kuala Lumpur. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian +603 9772 9191 atau menghantar emel ke smcv-enquiry@sunway.com.my. Maklumat tambahan mengenai acara ini dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh SMCV boleh didapati melalui laman web rasmi di www.sunmedvelocity.com.my atau di laman Facebook rasmi Sunway Medical Centre Velocity.