Finalis “Raise The Star Malaysia” Lancar EP Eksklusif Bersama Komposer Ternama

Meskipun program realiti “Raise The Star Malaysia” telah pun melabuhkan tirainya dengan penuh gaya, momen istimewa terus diraikan apabila kesemua finalis tampil dengan single masing-masing yang digubah oleh lima komposer ternama tanah air. Semua lagu tersebut dihimpunkan dalam sebuah EP khas terbitan Rocketfuel Entertainment, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni para peserta serta memperlihatkan kesinambungan usaha dalam melahirkan bintang generasi baharu industri muzik Malaysia.

Berbeza dengan pertandingan realiti lain, program ini memperkenalkan format unik apabila setiap peserta akhir dibimbing oleh seorang komposer terkenal yang bukan sahaja menjadi mentor, malah turut menggubah lagu khas untuk mereka persembahkan di pentas akhir. Antara nama besar yang terlibat ialah Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah, dan Ikhwan Fatanna lima figura penting yang menjadi tunjang kepada pelbagai karya hit tanah air. Kerjasama eksklusif ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk mendapat sentuhan peribadi daripada komposer terkenal, malah turut melahirkan karya-karya baharu yang segar dan relevan dengan trend semasa.

Muncul sebagai juara, Didie Shazry berjaya menambat hati juri dan penonton menerusi lagu balada syahdu berjudul “Peganglah Hati” ciptaan Aina Abdul. Dengan susunan muzik istimewa yang menyelitkan elemen nusantara pada bahagian korus, lagu ini menyerlahkan kekuatan vokal Didie serta emosi yang tulus. “Saya amat bersyukur kerana diberi peluang menyanyikan lagu hasil ciptaan Aina Abdul yang begitu indah dan penuh jiwa. ‘Peganglah Hati’ benar-benar dekat dengan diri saya dan saya harap ia juga dapat menyentuh perasaan semua pendengar,” kata Didie.

Naib juara menjadi milik Zuana dengan balada dreamy berjudul “Hantaran Cinta” ciptaan Ajai. Lagu tersebut menonjolkan kelembutan vokal serta gaya penyampaian emosionalnya yang penuh perasaan. “Sejujurnya, peluang menyanyikan lagu ciptaan Ajai adalah satu penghormatan besar buat saya. ‘Hantaran Cinta’ begitu peribadi dan saya berharap ia menjadi lagu yang mampu mengiringi momen istimewa para pendengar,” katanya. Sementara itu, tempat ketiga disandang oleh Rayme dengan lagu pop “Gergasi” ciptaan Audi Mok, yang menggabungkan elemen rock dan rap, memberi warna baharu kepada perjalanan seninya. “Saya ingin buktikan bahawa muzik pop boleh hadir dengan identiti yang berbeza. ‘Gergasi’ adalah karya yang memberi saya ruang untuk menunjukkan sisi versatil dalam nyanyian saya,” ujar Rayme.

Selain tiga lagu utama daripada pemenang, EP ini turut memuatkan dua lagi lagu menarik iaitu “Lara Bertahan” nyanyian Hariz Fayahet ciptaan Ikhwan Fatanna sebuah balada penuh emosi yang menyentuh jiwa serta “Cinta Dusta” nyanyian Keka ciptaan Shila Amzah, sebuah balada rock moden dengan sentuhan kontemporari. Lima lagu yang terkandung dalam EP ini mewakili pelbagai genre, nuansa dan identiti, sekaligus memperkayakan warna muzik tempatan.

Dengan terbitnya EP khas ini, Rocketfuel Entertainment yakin karya-karya tersebut akan memperluaskan katalog muzik Malaysia sambil memperkenalkan bakat baharu ke persada arus perdana. Secara tidak langsung, ia menambah variasi pilihan buat pendengar dan terus mengukuhkan ekosistem muzik tanah air.

Kesemua lagu yang dipersembahkan di pentas akhir kini boleh didengarkan dalam versi konsert di saluran YouTube @RocketfFuelNetwork. Manakala versi studio akan dilancarkan di semua platform digital utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music secara berperingkat setiap minggu bermula 25 September 2025 dengan “Peganglah Hati” oleh Didie Shazry, diikuti dengan empat lagu lain sehingga melengkapkan keseluruhan EP dalam tempoh lima minggu.