Anugerah Lagu Indie 2024 (ALI24) kembali dengan edisi kelima dan terus menjadi pentas utama meraikan bakat muzik indie tempatan. Diumumkan secara rasmi di ESI Hub, Spacerubix, sebanyak 630 lagu diterima tahun ini, namun hanya 15 finalis terbaik dari tiga kategori Pop, Rock dan Hip Hop berjaya mara ke Pentas Akhir pada 27 Julai 2024, yang akan disiarkan secara langsung di YouTube rasmi ALI dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
Barisan juri profesional termasuk AG Coco, Irena Taib, Leaism, Luca Sickta dan ramai lagi, menilai lagu berdasarkan keaslian muzik dan lirik (70% juri, 30% undian awam). Seperti tahun lalu, ALI24 menawarkan RM36,000 wang tunai untuk pemenang kategori utama, serta dua anugerah khas: Persembahan Terbaik dan Lagu Indie Terpaling Platinum Carta Indie Kita.

Penerbit Eksekutif, Ahmed Faris Amir, menyifatkan jumlah penyertaan tinggi sebagai petanda positif terhadap penerimaan muzik indie tempatan. Sementara itu, Jennifer Thompson menekankan kualiti penilaian sebagai tunjang utama pemilihan finalis.
ALI2024 turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan, Rakan Muda, Rakita 107.9 serta rakan media seperti Malaysia Tribune, Medialah, Music Addicts Malaysia, Kaypoh Media, Malaysia Music Scene, Writer’s Daily dan LUAS.
Senarai finalis kategori Hip Hop Terbaik terdiri daripada Different Worlds oleh Bubba D, Shh Shh oleh B-Heart, Good Day oleh Fusion Cypher House, Malay Hood oleh Bearboi serta OK-GO oleh Pikabu. Bagi kategori Pop Terbaik, finalisnya ialah I Got A Woman oleh Reubben Chelvan, Dewasa Yang Ku Impikan oleh Umar Akmal, Jangan Merajok oleh Max Brandon, Ke Akhirnya oleh Fimie Don dan TV Show oleh Odelia Tirza. Sementara itu, kategori Rock Terbaik menampilkan Bola Si Ernie oleh Teh Tarik Senja, Senandung (feat. Otam) oleh Mafidz, Bima Sakti (feat. Dhenaldi Savirio) oleh Crazy Grizzly, Anathema oleh Inversion dan I, Suffocate (feat. Amanda Love & Ewan Roslan) oleh An Honest Mistake.
Nantikan malam kemuncak penuh warna-warni muzik indie tempatan pada 27 Julai 2024 satu malam, satu pentas, lima belas suara luar biasa!