TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Pemuja Syaitan: Zul Ariffin & Liana Jasmay Berganding Bahu Kembalikan Mimpi Ngeri di Pawagam

Barisan pelakon dan pengarah filem Pemuja Syaitan bergambar di karpet merah semasa majlis Malam Gala
Barisan pelakon dan pengarah filem Pemuja Syaitan bergambar bersama penonton di dalam dewan pawagam

Tayangan Dan Promosi Filem Pemuja Syaitan

Sebuah majlis perhimpunan semula (reunion) yang sepatutnya dipenuhi nostalgia manis bertukar menjadi tragedi berdarah apabila rahsia lama kembali terbongkar dalam Pemuja Syaitan, filem seram sulung arahan pengarah berbakat besar, Liana Jasmay. Mengangkat tema persahabatan, pengkhianatan, dan elemen ketakutan yang mendalam, karya terbitan Mermaid Studios bersama Suraya Filem Production & Distribution ini mula menghantui penonton di pawagam seluruh negara sejak 15 Oktober 2026.

Bagi merancakkan lagi pelancaran filem berkenaan, pelakon utama Zul Ariffin bersama Liana Jasmay serta barisan pelakon hebat lain telah meluangkan masa bertemu rakan media dan peminat menerusi dua sesi khas pada 14 Oktober lalu bertempat di TGV Suria KLCC. Acara bermula pada sebelah petang menerusi Sesi Tayangan Bersama Media sebelum kemuncak promosi diteruskan pada sebelah malam menerusi Malam Gala Pemuja Syaitan yang turut dimeriahkan dengan persembahan lagu tema (OST) berjudul ‘Dendam’ oleh penyanyi berbakat, Elica Pauji.

Sinopsis Dan Barisan Pelakon Filem Pemuja Syaitan

Dari segi jalan cerita, Pemuja Syaitan mengisahkan sekumpulan bekas rakan sekelas yang berkumpul semula di kampung halaman beberapa bulan selepas tamat persekolahan. Namun, pertemuan itu berubah menjadi mimpi ngeri apabila tindakan mereka menggali semula sebuah kapsul masa membongkar pengkhianatan serta rahsia pahit yang lama terpendam, berkesudahan dengan penemuan enam mayat, seorang hilang, dan seorang lagi ditemui dalam keadaan trauma berat. Kejadian menyayat hati ini membawa Inspektor Zul (yang dipegang oleh Zul Ariffin) ke pulau berkenaan untuk merungkai misteri, di mana siasatan mendalam mendedahkan kebenaran gelap yang menuntut harga jauh lebih besar.

Filem yang mendapat kerjasama Skop Productions selaku rakan pengedaran dan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran ini turut diperkuatkan dengan barisan pelakon popular seperti Aila Azizul, Nadhir Nasar, dan Elizabeth Tan. Penonton diseru segera ke pawagam bagi merasai sendiri pengalaman sinematik yang mencengkam jiwa ini, selain mengikuti perkembangan terkini di saluran media sosial rasmi Primeworks Studios.