Filem Noktah Dosa arahan Fattah Amin Sorot Kisah Hijrah dan Keampunan Ilahi

Dosa, takdir, dan peluang untuk berubah. Sampai sejauh mana seseorang benar-benar mengerti erti hidayah dan mampu meninggalkan sisi gelap hidupnya demi cahaya yang menyuluh? Inilah persoalan utama yang dikupas dalam Noktah Dosa, sebuah telefilem yang sarat emosi dan penuh makna. Karya ini akan disiarkan Sabtu ini dalam slot Cerekarama di TV3, dan turut mencatat sejarah sebagai telefilem pertama arahan Fattah Amin, sekaligus menyertai barisan karya eksklusif menerusi projek Dari Layar Ke Lensa.

Dari Layar Ke Lensa ialah inisiatif istimewa TV3 sempena ulang tahun ke-41 saluran tersebut, membariskan empat bintang terkenal tanah air – Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick, dan Zahiril Adzim – yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pengarah. Projek ini menjadi platform untuk mereka menterjemahkan pengalaman dan suara hati masing-masing dalam bentuk naratif kreatif, sekali gus memperkukuh misi TV3 dalam memperkaya kandungan tempatan dari perspektif baharu.

Noktah Dosa mengisahkan Hafiz (lakonan Nafiz Muaz), seorang pelajar pascasiswazah dalam bidang sosiologi yang menjalankan kajian tentang industri pelacuran. Penyelidikannya membawa dia ke lorong-lorong gelap ibu kota, di mana dia bertemu Kamelia (Datin Elvina Mohamad), wanita yang terjerat dalam dunia kelam tanpa pilihan. Kisah hidup Kamelia menyentuh hati Hafiz, lalu mendorongnya untuk menyelamatkan wanita itu daripada cengkaman Madam (Jasmin Hamid), individu yang mengawal hidup Kamelia sepenuhnya.

Namun, mampukah mereka meloloskan diri daripada realiti hitam yang penuh luka dan trauma? Adakah Kamelia benar-benar bersedia untuk melepaskan bayang silam yang membelenggunya?

Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nafiz Muaz, Datin Elvina Mohamad, dan Jasmin Hamid, telefilem ini mengangkat tema kemanusiaan, taubat, dan peluang kedua – menyentuh soal penilaian, harapan dan iman.

Mengulas lanjut, Fattah Amin menyatakan, “Saya harap penonton beri peluang untuk menonton Noktah Dosa, kerana ia membawa mesej yang sangat jelas – kita tak boleh cepat menghukum. Hidayah milik Allah dan boleh datang bila-bila masa, kepada sesiapa sahaja, walau siapa pun dia. Kadang-kadang orang yang kelihatan berdosa di mata kita, sebenarnya sedang bertarung hebat untuk berubah.”

Beliau juga berkongsi tentang cabaran pengarahan, “Antara babak yang paling mencabar adalah adegan Kamelia di bilik mandi yang melambangkan penyucian diri. Saya nak pastikan solekan mengalir ke lantai dengan jelas – visual itu sangat penting untuk simboliknya. Kami rakam babak itu sekitar pukul 2 pagi, dan kena ulang beberapa kali sebelum saya puas hati dengan hasilnya.”

Saksikan Noktah Dosa, sebuah karya menyentuh jiwa yang mengetengahkan isu moral dan spiritual, Sabtu ini, 12 Julai jam 10 malam hanya di slot Cerekarama TV3.

Teruskan menantikan dua lagi telefilem menarik di bawah projek Dari Layar Ke LensaSusu Lima Kupang arahan Janna Nick (19 Julai) dan Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim (26 Julai), juga dalam slot yang sama.

Untuk maklumat terkini mengenai drama kegemaran anda, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram @TV3Malaysia serta Instagram @dramasangat.- Tehtariktimes