Filem Ikonik ‘Coolie’ Bakal Ditayangkan di Malaysia

Kumpulan Syarikat Malik Streams terkenal dengan pelbagai bidang perniagaan sejak ditubuhkan pada tahun 2007 melalui Malik Streams Corporation Sdn. Bhd. Bermula dengan bekalan barangan isi rumah dan borong, kini empayar Dato’ Malik berkembang pesat dalam industri hiburan, hartanah, pertukaran mata wang, perhotelan serta perniagaan emas melalui jenama MS Gold, yang sudah memiliki empat butik eksklusif di Kuala Lumpur, Seremban dan Johor.

Dalam dunia hiburan, Malik Streams diiktiraf sebagai antara syarikat paling berjaya di Malaysia serta menjadi penghubung utama dengan gergasi hiburan Bollywood dan Kollywood. Tahun 2025 mencatat sejarah penting apabila Malik Streams mendapat hak penuh sebagai pengedar rasmi filem box office “COOLIE” di Malaysia, yang mula ditayangkan di seluruh negara pada 14 Ogos 2025.

COOLIE ialah filem aksi thriller Tamil arahan Lokesh Kanagaraj dan diterbitkan oleh Kalanithi Maran. Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Superstar Padma Bhushan Rajinikanth, Nagarjuna, Soubin Shahir, Upendra, Shruti Haasan, Sathyaraj dan Aamir Khan. Istimewanya, tayangan ini juga meraikan 50 tahun perjalanan karier Rajinikanth dalam industri filem.

Sejak tayangan perdana, COOLIE mencatat kutipan tertinggi dunia bagi pawagam Tamil pada hari pertama. Filem ini menawarkan pengalaman sinematik penuh aksi, emosi dan karisma yang pasti mengujakan peminat Rajinikanth di Malaysia. – Tehtariktimes