Meriah Lain Macam, Nyam Nyam Ketupat & Dam Dim Dum Raya: Tiga Lagu Raya Paling Tular 2025!
Rocketfuel Entertainment mencipta satu lagi kejayaan luar biasa sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun ini apabila tiga lagu Raya terbitannya mencetuskan fenomena besar di seluruh negara. Tiga buah lagu tersebut “Meriah Lain Macam” nyanyian Hael Husaini dan Nadeera, “Nyam Nyam Ketupat” oleh Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy, serta “Dam Dim Dum Raya” oleh Nadeera telah berjaya mengumpulkan lebih 1.7 bilion strim dan tontonan secara kolektif di YouTube serta platform digital lain, sekali gus meletakkannya antara projek muzik Raya paling berjaya dalam sejarah Rocketfuel Entertainment.
“Meriah Lain Macam”, ciptaan Hael Husaini bersama Iqie Hugh, bukan sahaja mendapat sambutan luar biasa dengan lebih 16 juta tontonan di YouTube, tetapi turut menduduki tangga No.1 di pelbagai carta utama termasuk Carta RIM (Official Malaysia Chart), Billboard Malaysia, YouTube Music Malaysia dan YouTube Music Brunei. Lagu ini juga mencatat sejarah apabila kekal trending No.1 di YouTube selama 33 hari berturut-turut. Lagu ini menceritakan kisah keterujaan sepasang suami isteri membuat persiapan pulang ke kampung halaman. Menurut Hael, mereka hanya ingin menyampaikan semangat dan kemeriahan Raya yang dirindui, namun kejayaan lagu ini melebihi jangkaan dan menjadi hadiah paling manis buat mereka tahun ini.
Sementara itu, “Nyam Nyam Ketupat” muncul sebagai lagu Raya paling ceria dan catchy untuk tahun ini. Lagu ini bukan sahaja menceriakan pendengar dengan lirik comel dan melodi rancak, tetapi juga mencetuskan fenomena tarian tular di media sosial. Dengan hampir 8 juta tontonan di YouTube, lagu ini turut mencapai kedudukan ketiga bagi Lagu Melayu Paling Banyak Distrim di Malaysia. Menariknya, bintang badminton dunia dan juara Olimpik Paris, Victor Axelsen, turut menggunakan lagu ini sebagai latar video TikTok ketika menjalani latihan di Denmark. Wani Kayrie menyifatkan sambutan terhadap lagu ini sebagai sangat luar biasa dan antara pencapaian terbaiknya untuk musim Raya kali ini.
Bagi Nadeera, sambutan hangat terhadap lagu solo pertamanya “Dam Dim Dum Raya” amat menyentuh hati. Lagu ini telah berjaya meraih lebih 800,000 tontonan di YouTube dan menerima pujian peminat yang menghargai sentuhan peribadinya. Bagi Nadeera, lagu ini sangat bermakna kerana ia adalah karya Raya solo pertamanya dan membuktikan bahawa sokongan peminat mampu menjadikan lagu tersebut istimewa walaupun bersaing dengan banyak lagu lain.
Melihat kepada sambutan hangat terhadap projek Raya 2025 ini, Rocketfuel Entertainment menyatakan komitmen untuk terus menghasilkan karya-karya berkualiti dan segar untuk penonton dan pendengar. Sebagai tambahan kepada kejayaan ini, Rocketfuel turut melancarkan dua versi khas lagu popular dari pentas Anugerah Juara Lagu “Bukan Lagi Kita” oleh Nadeera dan “Diam” oleh Hael Husaini yang kini boleh distrim di semua platform digital utama bermula 1 Mei 2025.
Rocketfuel Entertainment terus membuktikan bahawa muzik Raya masih relevan dan mampu mencipta gelombang besar jika diolah dengan kreativiti, semangat dan nilai hiburan yang tinggi.