Fenomena INSOMNIACKS: Konsert Sold Out, Lagu Baharu Dilancar

Kumpulan pop rock tempatan INSOMNIACKS sekali lagi membuktikan aura luar biasa mereka apabila tiket konsert jelajah Echoes of a Dream habis terjual dalam masa singkat. Konsert di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Julai lalu penuh sesak, dan fenomena sama berulang di Capitol Theatre, Singapura pada 16 Ogos , tiket laris hingga ke barisan terakhir.

Bukan itu sahaja, cenderahati rasmi konsert turut habis stok di kedua-dua lokasi. Atas permintaan tinggi, barangan rasmi kini ditawarkan secara dalam talian di umusic.my, memberi peluang peminat untuk memiliki koleksi khas INSOMNIACKS.

Kejayaan ini hadir selepas kumpulan tersebut mencatatkan streaming tertinggi 2024 di Carta RIM, namun INSOMNIACKS enggan berhenti di situ. Sebaliknya, mereka melihat pencapaian ini sebagai motivasi untuk terus menghasilkan karya yang segar dan relevan buat generasi masa kini.

Sebagai tanda penghargaan, INSOMNIACKS bakal melancarkan single baharu berjudul Seperti Dulu pada 29 Ogos 2025. Lagu yang pertama kali dipersembahkan di Singapura itu digambarkan sebagai sebuah “surat cinta” buat semua peminat setia yang bersama sejak awal perjalanan mereka.

“Lagu ini sebenarnya surat cinta kami buat semua yang menyokong INSOMNIACKS sejak mula. Tak kira di mana mereka berada dalam hidup, kami nak ingatkan bahawa setiap momen bersama itu tetap akan kami hargai,” kata anggota INSOMNIACKS.

Dari segi kreativiti, lirik Seperti Dulu ditulis oleh ahli kumpulan sendiri dengan komposisi oleh Iqie, manakala susunan muzik dihasilkan bersama Taja. Lagu ini turut menampilkan sentuhan nostalgia yang membawa peminat kembali ke era awal INSOMNIACKS, menjadikannya karya penuh kejujuran dan dekat di hati.

Selepas pelancaran rasmi, INSOMNIACKS akan meneruskan siri promosi ke Jakarta pada penghujung September 2025, membuktikan muzik mereka kini semakin merentas sempadan.

-Tehtariktimes