Penyanyi muda yang memiliki vokal merdu, Fajar Noor, terus melakar kejayaan apabila berjaya memikat hati jutaan penonton dan meraih tempat kedua dalam musim ke-13 rancangan realiti popular, Indonesian Idol. Kini, beliau melebarkan sayapnya ke Malaysia menerusi lawatan promosi sulung selama tiga hari di Kuala Lumpur.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk memperkenalkan single pertamanya yang berjudul “Tahta Hatiku” #Pendampingmu, hasil ciptaan komposer ternama Indonesia, Yovie Widianto, dengan lirik nukilan Arsy Widianto.
Sepanjang berada di ibu kota dari 3 hingga 5 Ogos, kehadiran Fajar disambut meriah oleh media serta peminat tempatan. Jadual promosi beliau turut dipenuhi pelbagai aktiviti seperti penampilan di rancangan televisyen, sesi temu bual bersama media, fotografi, dan majlis makan malam eksklusif bersama peminat bertuah.
Single “Tahta Hatiku #Pendampingmu” mengangkat tema cinta yang tulus dan mendalam tentang kesetiaan kepada seseorang yang dicintai, walaupun tidak dapat memilikinya sepenuhnya. Menurut Fajar, kekuatan lagu ini terletak pada liriknya yang menyentuh emosi, menjadikannya mudah diterima oleh pendengar dari pelbagai latar usia.
“Lagu ini berkisarkan cinta dalam diam. Ada kalanya, kita tidak dapat bersama orang yang kita sayang, tapi kita tetap memilih untuk ada di sisi mereka. Saya percaya ramai pernah melalui perasaan ini,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, lagu ini turut mencerminkan sisi peribadinya yang lebih selesa meluahkan perasaan melalui karya seni berbanding kata-kata.

“Sebagai artis baharu, saya mahu lagu saya berbicara bagi pihak saya. Tak sangka sambutan di Indonesia sangat memberangsangkan, dan saya berharap lagu ini turut mendapat tempat di hati peminat Malaysia,” katanya dengan penuh harapan.
Lawatan promosi ini juga menandakan langkah awal Fajar dalam misi menembusi pasaran muzik serantau dengan sokongan padu daripada Universal Music Malaysia serta peningkatan peminat di platform digital dan media sosial.
“Saya ingin membina hubungan yang kukuh dengan peminat di Malaysia. Ini hanyalah permulaan, dan saya pasti akan kembali dengan lebih banyak lagu dan persembahan selepas ini,” katanya lagi.
Dengan bakat semula jadi, peribadi yang merendah diri, serta lagu-lagu yang penuh emosi, Fajar Noor kini bersedia mengukir nama bukan sahaja di Malaysia, malah di pentas muzik antarabangsa.- Tehtariktimes