Ezad Lazim, penyanyi balada yang tidak asing lagi, kembali mencuri perhatian ramai apabila merakam semula lagu viral “Rindu Hatiku Rindu”, yang pada asalnya dinyanyikan oleh penyanyi cilik, Tantari.
Lagu ini, yang menggamit suasana nostalgia ala 90-an, kini diberi sentuhan baru oleh Ezad, menjadikannya sebuah karya yang benar-benar membawa identiti beliau. Dengan suara lemak merdu yang sudah sinonim dengan muzik balada, Ezad berjaya menghidupkan kembali emosi lagu ini, sekaligus memberikan perspektif yang lebih matang dan mendalam.
Dicipta oleh komposer terkenal Eddie Hamid dengan lirik hasil nukilan Jaju dan Hakim Hakimi, versi asal lagu ini, yang dirakam oleh Tantari, telah menjadi fenomena pada awal tahun ini. Lagu tersebut bertahan di kedudukan #1 Trending YouTube selama 20 hari berturut-turut dan kini telah meraih lebih 9 juta tontonan. Dalam pada itu, lagu ini juga viral di TikTok dengan video muzik rasmi mencecah 4 juta tontonan di akaun TikTok HafizFeisal. Populariti ini jelas menunjukkan sambutan luar biasa daripada peminat muzik tanah air.
Ezad meluahkan rasa syukur dan terharu atas peluang merakamkan semula lagu yang begitu mendapat tempat di hati pendengar. Baginya, ini bukan sekadar satu projek rakaman, tetapi satu penghormatan dalam mengangkat sebuah karya seni yang melangkaui batas zaman. “Lagu ini sangat istimewa, bukan sahaja kepada peminat muzik generasi baharu tetapi juga kepada mereka yang menyukai muzik balada klasik,” katanya. Ezad turut berharap agar versi baharu ini mampu mendapat sambutan yang sama hangat seperti versi asal dan berjaya menyentuh hati lebih ramai pendengar.
Bagi memastikan rakaman semula ini dapat mengekalkan elemen asli yang dicintai pendengar, Ezad bekerja rapat bersama penerbit lagu dan menumpukan kepada proses rakaman yang lebih teliti. Elemen muzik diolah sedikit agar sesuai dengan gaya nyanyian beliau sebagai seorang penyanyi dewasa, sementara melodi asal masih dikekalkan untuk memberikan keaslian kepada penghayatan lagu itu. Dengan usaha ini, Ezad percaya bahawa dia berjaya menyuntik nafas baru dalam karya ini sambil menghormati susunan asal yang telah menarik hati ramai.
Bukanlah sesuatu yang baharu buat Ezad untuk berada dalam senarai trending atau carta popular. Sebelum ini, beliau telah mencatat pelbagai kejayaan besar melalui lagu-lagu yang diminati ramai. Bermula sebagai vokalis utama Exists, beliau mencipta sejarah dalam dunia muzik dengan lagu-lagu hits seperti Jesnita (16 juta tontonan di YouTube), Mengintai Dari Tirai Kamar (14 juta tontonan di YouTube), Seperti Dulu (14 juta tontonan di YouTube), dan Alasanmu (10 juta tontonan di YouTube). Sebagai penyanyi solo pula, Ezad menghasilkan karya yang menjadi siulan ramai seperti Demi Cinta (14 juta tontonan di YouTube), Percintaan Ini (5.2 juta tontonan di YouTube), dan Hati Mati (3.8 juta tontonan di YouTube).
Kini, dengan pelancaran single “Rindu Hatiku Rindu” versi baharu ini, Ezad optimis lagu tersebut akan diterima baik oleh peminat sedia ada serta generasi baru. Single ini sudah boleh distrim di semua platform penstriman muzik popular, manakala video lirik rasmi yang dimuat naik pada 18 September 2024 telah berjaya menduduki carta Top 20 trending di YouTube.
Kepada semua peminat, berita gembira menanti! Siaran perdana video muzik rasmi “Rindu Hatiku Rindu” versi Ezad Lazim bakal ditayangkan di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada Jumaat, 8 November 2024 jam 3 petang. Jangan lupa untuk menyaksikan sendiri bagaimana Ezad membawa lagu ini ke satu tahap yang lebih menyentuh hati dengan penghayatan yang tulus dan penuh emosi. Saksikan pelancaran video muzik rasmi melalui pautan berikut: https://www.youtube.com/watch?v=4S4i2JhhUnk