Satu malam yang dijangka mencipta sejarah muzik sedang menanti peminat di Singapura. Buat pertama kali, dua kumpulan legenda yang telah mewarnai dunia muzik Nusantara sejak era 90-an, Exists dan Slam, akan berkongsi satu pentas dalam konsert istimewa berjudul Exists X Slam Live in Singapore. Konsert eksklusif ini bakal berlangsung di The Star Theatre, Singapura pada 29 November 2025, dan dibawakan khas oleh Shiraz Projects.
Kolaborasi ini bukan sekadar gabungan dua nama besar, tetapi lambang penghargaan terhadap legasi mereka yang kekal relevan biarpun pelbagai kumpulan baharu muncul saban tahun. Shiraz Projects melihat Exists dan Slam sebagai dua ikon muzik yang terus mempengaruhi industri serta menjadi sebahagian daripada memori kolektif peminat. Konsert ini adalah tanda penghormatan terhadap karya-karya mereka yang telah melintasi generasi.
Menurut Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shiraz, ramai yang bertanya mengapa Exists dan Slam disatukan dalam satu pentas. Jawapannya mudah – kerana keduanya layak diraikan secara bersama. Bukan kerana mereka tidak mampu berdiri sendiri, tetapi kerana kolaborasi ini mampu memberi sesuatu yang lebih istimewa buat peminat yang telah menyokong mereka selama lebih dua dekad. Setelah kedua-dua pihak bersetuju, Shiraz Projects tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini untuk merealisasikan projek yang begitu bermakna.
Keistimewaan Exists X Slam bukan hanya terletak pada gabungan dua kumpulan ini, tetapi juga pada sejarah panjang dan perjuangan muzik mereka. Walaupun pernah mengalami pertukaran anggota dan vokalis, kedua-dua kumpulan berjaya mengekalkan populariti serta sokongan padu peminat. Pengiktirafan demi pengiktirafan terus membuktikan bahawa muzik mereka tidak lapuk ditelan masa.
Siapa yang tidak kenal lagu-lagu seperti Mengintai Dari Tirai Kamar, Gerimis Mengundang, Oh Ibu, Jesnita, Tak Mungkin Berpaling dan Rindiani? Lagu-lagu yang biasa didengar melalui radio kini bakal dipersembahkan secara langsung oleh vokalis asal – Ezad daripada Exists dan Zamani daripada Slam – dengan penuh emosi dan kenangan. Konsert ini dijangka membuai hati peminat dalam nostalgia yang mendalam.
Exists dan Slam tidak menjanjikan bulan dan bintang. Mereka hanya mahu mempersembahkan sebuah malam yang akan meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir. “Apa yang penting bagi kami adalah melihat peminat tersenyum puas, menyanyi bersama dan pulang dengan memori yang akan dikenang sepanjang hayat,” kata Along mewakili kedua-dua kumpulan.

Tiket konsert Exists X Slam Live in Singapore akan mula dijual pada 26 Mac 2025 menerusi laman web www.sistic.com.sg atau boleh dihubungi melalui talian hotline +65 6348 5555. Antara kategori tiket yang ditawarkan ialah Meet & Greet ($258), Diamond ($168), Platinum ($148), Gold ($128), Gold RV ($108), Silver ($108) dan Silver RV ($88).
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini. Exists X Slam bersedia untuk mencipta magis di Singapura.