Nama Bunga Citra Lestari atau BCL sentiasa sinonim dengan karya cinta yang menyentuh jiwa. Penyanyi, pelakon dan penghibur ternama Indonesia ini bakal kembali menyapa para peminatnya di Malaysia menerusi sebuah konsert eksklusif yang menjanjikan pengalaman istimewa dan penuh emosi. Dibawakan oleh Pulse Project Asia, konsert yang diberi judul BCL: Eternal Love – Timeless Romance akan berlangsung pada 27 September 2025 bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Menampilkan untaian lagu cinta yang ikonik seperti Cinta Sejati, Cinta Pertama (Sunny), Karena Ku Cinta Kau, 12 Tahun Terindah serta single terbaharu Memulai Kembali, konsert ini akan membawa penonton menelusuri perjalanan karier BCL yang kaya dengan warna dan cerita. Lebih dari sekadar persembahan muzik, konsert ini adalah luahan kasih antara seorang penghibur dengan para peminat yang telah menyokongnya sejak sekian lama.
Walaupun Pulse Project Asia merupakan pendatang baharu dalam dunia penganjuran konsert, pasukan di sebaliknya bukan calang-calang. Mereka terdiri daripada tenaga profesional berpengalaman luas dalam industri hiburan, yang komited untuk menyajikan produksi bertaraf antarabangsa. Menurut Muhammad Anuar Zaini dari Pulse Project Asia, konsert ini merupakan sebuah penghormatan buat peminat BCL di Malaysia yang tidak pernah jemu memberi sokongan sejak awal kerjayanya.
“BCL sentiasa disambut dengan tangan terbuka oleh peminat di Malaysia. Kami mahu membawa satu pengalaman muzik yang benar-benar menyentuh hati, dengan tata cahaya dan produksi yang mengagumkan, seiring dengan keindahan lagu-lagu beliau,” ujar Anuar.
Lebih menarik, BCL: Eternal Love – Timeless Romance turut menampilkan penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor, dan maestro violin tersohor, Dennis Lau, sebagai artis jemputan khas. Gabungan tiga nama hebat ini dijangka mencipta magis tersendiri dan menjadikan malam tersebut satu kenangan indah buat semua yang hadir.
Bagi peminat setia BCL, ini adalah peluang untuk menikmati konsert dalam suasana yang lebih dekat dan eksklusif. Pulse Project Asia menawarkan beberapa kategori tiket istimewa termasuk pakej Cinta Abadi yang menggantikan kategori VVIP lengkap dengan sesi Meet & Greet peribadi, sesi bergambar bersama BCL serta barangan kenangan yang ditandatangani khas oleh beliau.

Tiket mula dijual secara rasmi pada 6 Jun 2025, jam 3 petang menerusi platform Ticket2U, dengan tawaran potongan harga Early Bird sebanyak 10%. Tiket kategori presale bermula serendah RM259 manakala harga normal bermula RM288. Tambahan pula, 300 pembeli terawal berpeluang menyaksikan sesi soundcheck eksklusif BCL sebelum konsert bermula pengalaman yang jarang ditawarkan dalam penganjuran konsert artis serantau.
Konsert BCL: Eternal Love – Timeless Romance bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu perayaan cinta yang dikongsi antara seorang artis dan peminatnya. Dengan persembahan yang menyentuh hati, penceritaan yang intim dan susunan lagu penuh emosi, konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti tahun ini.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini. Tempah tiket anda sekarang di Ticket2U.com.my dan bersedia untuk merasai cinta dalam bentuk muzik yang abadi. – Tehtariktimes