Malam episod akhir drama Hilang Dalam Rindu berlangsung penuh emosi dengan sorakan gemuruh peminat yang membanjiri lokasi tayangan khas. Kehadiran para pelakon utama termasuk Jazmy Juma sebagai Eijaz, Tracie Sinidol sebagai Aira, Zariff Ghazzi sebagai Sarip, Qistina Rania sebagai Hannah, Sera Melissa sebagai Nurul, Nina Smith sebagai Teha dan Aizat Saha sebagai Muhsin menjadikan suasana semakin meriah. Kehangatan malam itu seolah-olah menghidupkan kembali watak-watak kesayangan penonton di depan mata mereka.
Bagi ramai peminat, malam tersebut bukan sekadar penutup tirai sebuah drama, tetapi sebuah peristiwa yang mempertemukan mereka dengan barisan pelakon yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup penonton sepanjang lima minggu bersiaran. Setiap babak terakhir disaksikan dengan penuh penghayatan, mencipta detik bermakna yang akan terus dikenang sebagai salah satu kenangan terindah bersama Hilang Dalam Rindu.
Kisah cinta Eijaz dan Aira akhirnya menemui noktah yang dinantikan. Semua salah faham yang membelenggu pasangan itu terlerai dengan penuh emosi, menghadirkan Eijaz sebagai seorang suami yang matang dan bertanggungjawab, sementara Aira akhirnya menemukan kebahagiaan setelah sekian lama menanggung luka. Pengakhiran mereka memberi kepuasan kepada peminat yang selama ini berharap agar pasangan itu bersatu dalam kebahagiaan.

Drama ini turut menyaksikan rahsia lama terbongkar apabila Nurul mendedahkan bahawa Hannah adalah dalang sebenar. Cubaan Hannah untuk menculik Nurul berjaya digagalkan oleh Eijaz sebelum dia ditahan polis. Walaupun Datuk Mukhriz merayu agar Nurul menarik balik laporan, usahanya tidak berhasil. Insiden itu turut mengingatkan Aira pada kesilapan lampau dalam isu Tokwan, yang akhirnya mendorong Eijaz untuk membuka semula kes tersebut.
Kebenaran akhirnya berpihak kepada Eijaz dan Aira apabila Hannah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman penjara. Dalam masa yang sama, keberanian Aira menyelamatkan Nurul daripada Muhsin memulihkan kembali hubungan mereka berdua, sekali gus menguatkan lagi ikatan rumah tangga Aira dan Eijaz yang kini menantikan kelahiran cahaya mata pertama mereka.
Dengan pengakhiran yang penuh emosi, Hilang Dalam Rindu bukan sahaja menutup kisah cinta Eijaz dan Aira dengan indah, malah menjadi hadiah istimewa buat para peminat setia. Malam finale ini meninggalkan kesan mendalam, membuatkan ramai penonton masih terbawa-bawa dengan kisah cinta tersebut, sukar untuk move on, sambil menghargai perjalanan lima minggu yang penuh makna bersama drama ini.