Malaysia bakal menyaksikan satu lagi momen bersejarah apabila Ratu Rock negara, Ella, kembali dengan pengumuman konsert mega terbaharunya berjudul “Majlis Tertinggi Rockqueen”. Konsert istimewa ini dijadualkan berlangsung pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, lokasi yang sebelum ini turut menjadi saksi kepada detik penting dalam perjalanan seni Ella.
Konsert ini dianjurkan oleh penganjur acara ternama, Hitman Solutions dan Rockqueen, dan merupakan antara projek terbesar yang dirangka sebagai tanda penghargaan terhadap legasi seni Ella. Pada masa yang sama, ia berperanan sebagai simbol penyatuan antara peminat, penggiat seni dan masyarakat Malaysia yang membesar bersama karya-karya beliau.
“Majlis Tertinggi Rockqueen” digerakkan dengan tema kemanusiaan “Peace, Love & Rindu”. Tiga nilai ini bukan sekadar dijadikan konsep persembahan, tetapi ingin diterjemahkan sebagai sebuah gerakan yang dekat dengan jiwa masyarakat. Menurut Ella, pemilihan nama Majlis Tertinggi Rockqueen bukan hanya merujuk kepada gelaran Ratu Rock yang sinonim dengannya, tetapi sebagai satu platform untuk memberi impak lebih bermakna kepada orang ramai.
Ella turut berkongsi bahawa beliau bakal mencecah usia 60 tahun pada 2026 dan mahu konsert ini menjadi sebahagian daripada legasi yang meninggalkan kesan dalam aspek kemanusiaan. Bagi beliau, Majlis Tertinggi Rockqueen adalah manifestasi usaha untuk mengangkat mesej “Peace, Love & Rindu” sebagai suatu gerakan dan bukan sekadar slogan.
Dalam konteks konsert ini, “Peace” melambangkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza. “Love” pula merujuk isu buli yang berlaku dalam kalangan masyarakat, khususnya di institusi pendidikan di Malaysia. “Rindu” didedikasikan kepada para penggiat seni tanah air yang terus berkarya untuk memajukan industri hiburan dan budaya, sama ada yang masih aktif mahupun yang telah pergi meninggalkan legasi.
Salah satu kelainan konsert ini ialah pendekatan harga tiket yang lebih mesra rakyat. Pihak penganjur mahu konsert ini menjadi konsert untuk semua, dengan harga tiket yang mampu dibeli oleh pelbagai lapisan peminat tanpa mengorbankan kualiti pengalaman. Walaupun berkonsepkan tiket mampu milik, penonton tetap dijanjikan persembahan berkualiti dengan sajian audio visual yang mantap di lokasi bertaraf antarabangsa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, antara matlamat utama konsert ini ialah untuk “give back to the people”. Justeru, Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi besar yang mampu menampung kehadiran penonton dalam jumlah signifikan, dengan struktur harga tiket yang lebih inklusif.

Menariknya, setiap pembelian tiket turut disertakan dengan satu unsur sumbangan amal. Ketika membeli tiket, pembeli perlu membuat pilihan undian terhadap tiga tabung sumbangan yang disediakan, iaitu Peace (Persatuan Cinta Gaza Malaysia), Love (Yayasan Kebajikan Negara) dan Rindu (Yayasan Kebajikan Artis Tanahair). Berdasarkan pilihan tema yang diundi, organisasi berkaitan akan menerima sumbangan sebanyak RM2 bagi setiap tiket yang dibeli.
Bagi Ella sendiri, kembali ke pentas sebesar Stadium Nasional Bukit Jalil selepas sekian lama merupakan satu cabaran yang besar. Namun, beliau melihat cabaran ini sebagai pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik. Beliau juga menzahirkan rasa syukur kerana masih berpeluang berkarya hampir empat dekad, dengan sokongan peminat yang tidak pernah putus. Bagi Ella, ketekunan dan kecintaan terhadap seni serta kepercayaan peminat menjadi pendorong utama untuk terus bertahan dalam industri.
Untuk para peminat, baik yang mengikuti kerjayanya sejak awal mahupun generasi baharu yang baru mengenali karya-karyanya, Ella meletakkan dua harapan utama. Pertama, beliau mahu konsert ini benar-benar membawa manfaat kepada pertubuhan amal yang terlibat. Kedua, beliau berharap generasi muda akan terus membesar sebagai generasi yang cemerlang dan berjaya, manakala golongan seniman pula dapat terus berkarya dalam keadaan yang lebih terpelihara dan dihargai.
Ella juga secara bersahaja mengajak peminat untuk sama-sama meraikan konsert ini dengan mesej yang dekat di hati. Beliau berpesan agar peminat tidak lupa untuk mengundi Peace, Love atau Rindu ketika membeli tiket, dan berjanji akan memberikan persembahan istimewa di Majlis Tertinggi Rockqueen kelak.
Konsert ini turut mendapat sokongan rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran acara berskala nasional. Perbadanan Stadium Malaysia tampil sebagai lokasi rasmi. Era FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM dan Gegar FM pula bertindak sebagai radio rasmi. Astro Gempak, Meletop dan Hlive! berperanan sebagai media rasmi yang membantu menyebarkan maklumat dan liputan berkaitan konsert. Selain itu, Ad Box, Wow Media dan Warisan Outdoor menjadi rakan media luar yang menyokong dari aspek promosi visual di pelbagai lokasi.
Bagi mereka yang memerlukan maklumat lanjut mengenai konsert “Majlis Tertinggi Rockqueen”, pihak penganjur boleh dihubungi melalui talian +6012-2655783 atau emel concerts@hitman.group.











