Ejen Ali, watak animasi kegemaran ramai dari Malaysia, sekali lagi membuktikan pengaruhnya apabila secara rasmi mewakili negara di World Expo 2025 yang sedang berlangsung di Osaka, Jepun. Bukan sekadar misi animasi, tetapi satu lambang besar kepada aspirasi Malaysia dalam dunia teknologi, kreativiti dan diplomasi budaya.
Kehadiran Ejen Ali bersama Ejen Alicia di Pavilion Malaysia nyata menjadi magnet kepada ribuan pengunjung. Barisan panjang kelihatan saban hari semuanya ingin menyapa, bergambar dan mengenali dua figura yang membawa semangat wira digital dari Cyberaya. Reaksi yang diterima cukup luar biasa, mencerminkan daya tarikan antarabangsa yang dimiliki oleh francais animasi tempatan ini.
Lebih daripada sekadar hiburan, Ejen Ali tampil sebagai duta nilai keberanian, kesetiaan dan integriti yang mampu menembusi sempadan bahasa dan budaya. Walaupun ramai pengunjung Jepun pertama kali diperkenalkan kepada watak ini, persembahan visual yang dinamik serta naratif penuh inspirasi berjaya menarik perhatian dan hati mereka dalam sekelip mata.
Antara momen paling menyentuh adalah apabila seorang kanak-kanak Jepun kembali ke booth selepas menonton treler dan dengan bersungguh berkata, “I want to be like him!” – detik manis yang membuktikan impak sejagat yang mampu dicetuskan oleh karya buatan Malaysia.

Pengarah Ejen Ali The Movie 2 merangkap Ketua Pegawai Kandungan WAU Animation, Encik Usamah Zaid Yasin turut hadir pada 21 dan 22 Julai lalu bagi sesi perkongsian kreatif. Sesi ini memberi peluang kepada pengunjung termasuk profesional industri Jepun untuk menyelami proses pembangunan IP ini serta melihat potensi kolaborasi masa hadapan.
Sambutan hangat yang diterima bukan sahaja membuka jalan kepada kerjasama antarabangsa, malah memperkukuh lagi nama Malaysia sebagai hab kandungan kreatif serantau. Ejen Ali kini bukan lagi hanya milik Malaysia dia kini milik dunia.
World Expo 2025 dijangka menarik lebih 28 juta pengunjung dari seluruh dunia, berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober. Penyertaan Ejen Ali membuktikan bahawa kandungan animasi tempatan kita mampu bersaing dan memberi impak di peringkat global, khususnya dalam bidang pendidikan digital, animasi dan inovasi budaya.
Dari Indonesia ke Jepun – misi Ejen Ali terus berkembang. Destinasi seterusnya? Dunia sedang menunggu, dan kita belum berhenti! – Tehtariktimes