Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) terus mencipta sejarah apabila berjaya meraih kutipan melebihi RM34.2 juta dalam hanya 11 hari tayangan, sekaligus memecahkan rekod filem pertamanya dan muncul sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam masa paling singkat.
Lebih membanggakan, EATM2 turut mengatasi kutipan beberapa filem antarabangsa terkenal seperti Thunderbolts, Mission: Impossible, dan Lilo & Stitch, membuktikan kekuatan karya tempatan dalam saingan sengit pawagam. Setakat ini, lebih 2 juta penonton telah hadir menyaksikan misi terbaru Ejen Ali, menjadikannya pilihan utama keluarga sepanjang musim cuti sekolah yang bermula 29 Mei lalu. Ramai penonton berkongsi bahawa mereka menonton lebih dari sekali dan mengajak keluarga turut serta.
Menurut pengarah, Usamah Zaid Yasin, sambutan penonton yang penuh emosi adalah hadiah paling berharga buat pasukan produksi. Filem ini dihasilkan dengan sepenuh jiwa demi memenuhi harapan peminat dan mengangkat animasi tempatan ke tahap antarabangsa.

Puan Nini Yusof, CEO Media Prima TV Networks dan Primeworks Studios pula menyifatkan pencapaian ini sebagai simbol keyakinan rakyat terhadap kualiti animasi dan tenaga kerja tempatan. Beliau turut mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang diterima.
Antara penonton selebriti yang menyokong EATM2 termasuk Dato’ Sri Siti Nurhaliza, yang hadir bersama anak-anaknya. Menerusi TikTok, beliau memuji mesej positif filem ini yang menyentuh tentang disiplin, keberanian dan keyakinan diri.
Tayangan EATM2 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik di pawagam terpilih seperti pertandingan mewarna, penampilan maskot dan koleksi barangan eksklusif menjadikannya aktiviti riadah yang menyeronokkan untuk seisi keluarga.
Ejen Ali The Movie 2 kini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada fenomena animasi tempatan terbesar tahun ini. Ikuti kandungan eksklusif dan info terkini menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta media sosial Primeworks Studios Film. Gunakan tanda pagar #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan untuk kongsikan pengalaman anda! – Tehtariktimes