
Semangat prihatin dan kebersamaan terus dizahirkan oleh Eco-Shop menerusi sumbangan lebih RM36,000 kepada mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapur, Kota Bharu. Bantuan tersebut hadir ketika lebih 20 keluarga sedang berusaha membina semula kehidupan selepas kehilangan kediaman dan harta benda akibat kebakaran yang berlaku pada awal Jun lalu.
Menerusi sumbangan dalam bentuk bantuan kewangan serta baucar tunai, Eco-Shop berharap dapat membantu memenuhi keperluan segera keluarga yang terjejas. Majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di Masjid Al Ikhsan menjadi simbol solidariti antara sektor korporat dan masyarakat dalam menghadapi detik sukar, selain membuktikan pentingnya sokongan pelbagai pihak ketika bencana melanda.

Pengurus Besar Wilayah Pantai Timur Malaysia Eco-Shop, Patrick Teoh, berkata syarikat sentiasa percaya bahawa kekuatan sesebuah komuniti terletak pada kesediaan ahlinya untuk saling membantu. Beliau berharap sumbangan tersebut bukan sahaja dapat meringankan beban mangsa, malah memberikan suntikan semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan dengan lebih yakin.
Komitmen berterusan Eco-Shop terhadap pembangunan komuniti membuktikan bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan sekadar diukur melalui prestasi perniagaan, tetapi juga melalui keupayaannya memberi manfaat kepada masyarakat. Menerusi usaha kebajikan seperti ini, Eco-Shop terus memainkan peranan sebagai rakan komuniti yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.




