Durioo+, aplikasi video selamat untuk kanak-kanak, dengan gembira mengumumkan pelancaran geran berjumlah RM500,000 untuk tahun 2025. Inisiatif ini bertujuan untuk memberi sokongan kepada pembuat kandungan tempatan yang berhasrat menghasilkan video yang menarik, bermanfaat, dan selamat untuk tontonan kanak-kanak.
Majlis pelancaran yang diadakan di Pusat Sains Negara ini turut bertujuan untuk menyatukan komuniti pembuat kandungan dari seluruh Malaysia. Program ini memberi peluang kepada lebih ramai pencipta kandungan untuk menghasilkan karya yang memenuhi keperluan hiburan serta pendidikan yang sesuai untuk kanak-kanak.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Durioo+ memperkenalkan beberapa program utama, antaranya:
- Durioo Creator – Program terbuka kepada semua pencipta kandungan yang ingin menghasilkan video menarik dan mendidik, khusus untuk kanak-kanak.
- Durioo EduCreator – Projek khas yang disasarkan kepada guru dan pendidik untuk menghasilkan kandungan yang berlandaskan silibus sekolah, termasuk Pendidikan Islam, KAFA, Bahasa Melayu, Sains, Matematik, dan banyak lagi.
- Durioo Creator Plus – Projek kolaborasi dengan pembuat kandungan terpilih untuk menghasilkan video yang sesuai dengan niche dan kepakaran masing-masing, dengan tumpuan untuk mendidik dan menghiburkan kanak-kanak.
![](https://tehtariktimes.com/wp-content/uploads/2025/02/IMG_7113-1024x606.jpg)
Pengasas Durioo+, Sinan Ismail, menyatakan, “Kami di Durioo+ percaya bahawa pencipta kandungan adalah tulang belakang industri hiburan kanak-kanak. Dengan pelancaran geran ini, kami berharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai pembuat kandungan tempatan untuk mencipta karya berkualiti yang tidak hanya menghiburkan tetapi juga mendidik kanak-kanak dalam aspek iman, akhlak, dan ilmu.”
Durioo+ berkomitmen untuk memperkukuhkan komuniti pembuat kandungan yang menghasilkan karya menarik dan bermanfaat, melalui pelbagai pertandingan, siri eksklusif, dan bengkel yang akan dijalankan secara berkala. Untuk maklumat lanjut mengenai Durioo+, boleh diikuti melalui laman sosial rasmi mereka di Instagram, Facebook, dan TikTok.