DUKES hadir dengan single baharu berjudul Melangkahi Aku, sebuah karya emosi yang memaparkan kekeliruan, kesedihan dan kemarahan tersembunyi seorang lelaki yang terperangkap dalam hubungan toksik. Single ketujuh bersama Alternate ini menandakan fasa baharu perjalanan muzik mereka, dengan bunyi yang lebih mentah, jujur dan dinamik.
Lagu ini digubah sepenuhnya oleh DUKES dengan lirik oleh Syed Rayyan Razzaq, manakala AG Coco bertindak sebagai penyusun dan penerbit. Melangkahi Aku membawa gabungan tenaga indie dengan pengaruh The Strokes dan Hujan, menghasilkan karakter muzik yang kuat dan penuh ledakan emosional.
DUKES menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan AG Coco sebagai satu proses yang membuka potensi sebenar mereka. Menurut mereka, AG memberi ruang kebebasan kreatif namun tetap memastikan identiti kumpulan tidak hilang. Sentuhan produksinya berjaya menonjolkan sisi mereka yang lebih jujur dan bertenaga.
Melangkahi Aku membawa pendengar menyusuri kisah seorang lelaki yang sentiasa dipersalahkan meskipun dialah yang terluka. Setiap kali dia cuba bersuara, pasangannya bertindak seperti mangsa, menyebabkan dia terperangkap dalam kitaran manipulasi dan kekeliruan. Korus lagu ini menjadi simbol keberanian untuk melawan, dengan ungkapan ‘Aku takut dengan cara dia yang melangkahi aku’ yang menggambarkan perasaan tertekan dan hilang suara.
Bagi DUKES, karya ini mewakili suara ramai individu yang pernah melalui hubungan tidak seimbang tetapi tidak mampu bersuara. Mereka berharap Melangkahi Aku menjadi ruang untuk pendengar mengenali dan memahami perasaan yang sering disembunyikan.
Dengan produksi yang solid, vokal energetik dan tema yang dekat dengan realiti hubungan masa kini, Melangkahi Aku dijangka menjadi salah satu karya paling penting dalam katalog DUKES.
Melangkahi Aku kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube Music dan Spotify.
Untuk perkembangan terkini dari Alternate Records & Talents, ikuti Facebook rasmi, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.