Duet Padu Black & Adira Dalam ‘Memilih Kamu’

Dua bintang terkenal tanah air, Black Hanifah dan Adira Suhaimi, tampil dengan lagu duet terbaru berjudul “Memilih Kamu”, ciptaan komposer berbakat Mas Dewangga dan Jova Devito – nama besar yang sering dikaitkan dengan kejayaan di Anugerah Juara Lagu (AJL).

Menurut Black, lagu ini membawa kisah persahabatan antara lelaki dan wanita yang disulami perasaan cinta terpendam. Walaupun si lelaki tidak meluahkan perasaan, akhirnya mereka disatukan di penghujung cerita.

Adira pula menyifatkan “Memilih Kamu” sebagai sebuah karya penuh emosi tentang cinta yang tidak kesampaian, namun tetap tulus menyayangi dari jauh.

Walaupun rakaman dilakukan secara berasingan, kedua-dua penyanyi tetap berjaya menyalurkan jiwa dan emosi lagu ini. Black sendiri hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk merakam bahagiannya, manakala Adira merasakan lirik yang kuat sudah cukup membantu menyampaikan perasaan dalam lagu tersebut.

Menariknya, muzik video rasmi lagu ini dirakam di Bukit Fraser, dengan panorama indah yang menambahkan lagi keunikan karya ini.

Komposer Mas Dewangga turut berkongsi bahawa lagu ini dicipta khas untuk Black dan Adira kerana ia juga menjadi OST sebuah drama. Format duet dipilih bagi memberi kesan emosi yang lebih mendalam, sesuai dengan jalan cerita drama tersebut.

Lagu “Memilih Kamu” diterbitkan oleh Nova Music Malaysia dan boleh mula distrim di semua platform digital bermula 22 Ogos 2025. Video muzik rasmi pula dilancarkan pada hari yang sama jam 3 petang di saluran YouTube Nova Music Videos.