Dua Lagu Raya Baharu Achey, “Nak Balik Raya” dan “Ibu Raya”, Meriahkan Aidilfitri

Penyanyi dan pelawak popular, Achey, kembali memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan dua lagu raya baharu berjudul “Nak Balik Raya” dan “Ibu Raya”. Kedua-dua lagu ini menampilkan pendekatan berbeza tetapi berkongsi mesej yang sama, iaitu mengangkat nilai kekeluargaan, kegembiraan pulang ke kampung, serta keindahan meraikan Syawal bersama insan tersayang.

Lagu “Nak Balik Raya” menampilkan Achey & Family dengan konsep ceria dan santai, menggambarkan suasana perjalanan pulang ke kampung menjelang Aidilfitri. Lagu ini menonjolkan elemen kekeluargaan apabila isteri dan anaknya, Tiara, turut terlibat secara langsung dalam projek berkenaan. Menurut Achey, konsep lagu tersebut diolah untuk menggambarkan kegembiraan dan persiapan yang sering dilalui masyarakat setiap kali pulang ke kampung menjelang Hari Raya. “Konsep lagu ini sebenarnya sangat dekat dengan keluarga. Saya selitkan pembabitan isteri dan anak saya kerana mahu menonjolkan elemen kekeluargaan. Emosi lagu ini pula lebih kepada kegembiraan dan keterujaan orang ramai yang sedang membuat persiapan untuk pulang ke kampung,” katanya.

Achey turut menjelaskan bahawa pengalaman peribadinya sebagai artis menjadi inspirasi dalam menghasilkan lagu berkenaan. “Saya ambil sedikit pengalaman sendiri, terutamanya ketika mula-mula bergelar artis. Ada masa kita tidak sempat balik raya, ada masa pula raya secara mengejut. Jadi pengalaman itulah yang saya selitkan dalam lagu ini supaya pendengar boleh rasa nostalgia perjalanan pulang ke kampung,” jelasnya. Tambah Achey, “Nak Balik Raya” juga membawa mesej penting kepada generasi masa kini agar terus mengekalkan budaya pulang ke kampung setiap kali Aidilfitri. “Saya harap generasi sekarang masih ada ‘vibe’ untuk balik kampung. Kadang-kadang kita lihat ada yang memilih untuk beraya di bandar sahaja. Bagi saya, budaya balik kampung itu sangat penting kerana di situlah kita berkumpul dengan keluarga dan berkongsi kegembiraan bersama,” katanya.

Muzik video lagu “Nak Balik Raya” mendapat sambutan hangat apabila menduduki Top 10 carta trending muzik di YouTube sebaik sahaja dimuat naik pada 28 Februari 2026 dan kini mencatat hampir 500,000 tontonan. Selain itu, Achey turut tampil dengan lagu raya lain berjudul “Ibu Raya”, yang dinyanyikan bersama penyanyi cilik Tantari serta dua bakat muda, Dahlya dan Rayyan. Seperti “Nak Balik Raya”, lagu ini menggambarkan kemeriahan sambutan Hari Raya tetapi lebih memberi fokus kepada peranan ibu dan kasih sayang keluarga ketika menyambut Aidilfitri.

Melalui kedua-dua lagu ini, Achey berharap karya yang dihasilkan dapat menemani perjalanan orang ramai ketika pulang ke kampung serta membangkitkan semangat Aidilfitri. “Saya berharap lagu-lagu ini diterima dengan santai dan penuh kegembiraan. Kalau boleh, biarlah ia dimainkan di radio, dalam bas, di pasar raya atau ketika orang ramai keluar membeli-belah di bazar Ramadan dan bazar raya. Mudah-mudahan lagu ini dapat membangkitkan semangat untuk orang ramai pulang beraya bersama keluarga,” katanya. Dengan gabungan elemen ceria, nostalgia dan kasih sayang keluarga, “Nak Balik Raya” dan “Ibu Raya” diharapkan mampu menjadi antara lagu yang menyerikan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Lagu “Nak Balik Raya” dan “Ibu Raya” terbitan Seventeen Eleven Music kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama, manakala muzik video rasmi kedua-dua lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’.